SIGNBOARD

SORRY! NO ENTRY

MAAF! TIADA ENTRI

對不起! 禁止進入

残念! 記入項目無し

Извините! Нет Вступление

آسف! لا الدخول

Nota bulu kaki :
Saya sedang sibuk menyiapkan assignment dan persedian perkahwinan abang saya yang akan diadakan pada hari Jumaat ini di Kuala Terengganu. Mungkin tiada sebarang entri untuk minggu ini. Komen-komen anda akan dibalas secepat yang mungkin. Terima kasih diatas doa dan ulasan anda pada sajak yang disiarkan pada isen sebelumnya.

Ingat! Saya sayang sama kamu-kamu semua.


Diang cinta : Keamanan 2

I
Melangkah longlai
Dalam derapan ketidak pastian
Mencari harapan yang mensisa,
Demi sebuah kepedulian,
Tentang nasib bangsa yang tidak keruan,

Rusuh yang menyelimuti,
Membakar semua cita-cita
Debu kedamaian yang berterbangan
Dihujung butir besi,
Yang meratah daging dan darah

Bencana apakah ini?
Gadis kami diratah,
Bonda kami ditelanjangi,
Bapa kami dirantai bisu,
Adik-adik kami dihalau pergi,
Rumah kami diratai,

Api fitnah apakah ini?
Kau dan aku saling membakari,
Sebuah kesepakatan yang pernah terjalin,
Dalam catan tawarikh yang berdebu,
Tinggalkan api ini atas nama Rasulmu,

Wahai bangsaku!
Bangkitlah kalian!
Seperti singa mengaum gagah,
Hunuskan pedang dengan tangan lelakimu,
Nun jauh di tanah sana
Ada gadis,
Ada bonda,
Ada bapa
Dan ada adik-adik
Yang sedang menunggumu,

Bangkitlah kalian!
Hilangkan ketakutanmu,
Dengan tangan yang digelumangi darah.

II

Debu-debu yang mengaburi,
Sebuah harapan yang tidak pernah padam,
Tanah itu sangat merindukan
Derapan kuda-kuda,
Bunyi pedang yang bertelingkah,
Darah yang membasahi,
Teriakan takbir yang menggetarkan
Dan jiwa-jiwa yang berani meminta janji Robnya.

. . . . . . . .

Sajak ini merupakan sambungan Diang Cinta : Keamanan 1
Untuk membaca sajak-sajak saya yang lain sila lawati kumpulan puisi : tatih

Ulasan dan komen dari kamu amat saya hargai. Terima Kasih.

Biaya-Siswa

Saya sedang menunggu sama ada nama saya akan tersenarai dalam senarai akhir untuk panggilan temuduga untuk mendapatkan CIFP Bright Scholarship Award tajaan INCEIF.

Tolong doakan saya.

Nota dari ~inilah saya~

Kepada kawan-kawan yang mendoakan saya. Saya ucapkan ribuan terima kasih. Saya sayang kamu semua...



Layan TAG jugak

Pagi tadi masuk blog 13may, secara tak sengaja saya ternampak senarai nama 6 lelaki perasan hensem. Alih-alih nama saya pun tersenarai jugak dalam golongan 6 lelaki perasan hensem ni. Lama juga rasanya tak TAG meng TAG ni. Apa pun layan aje lah, sekadar hiburan pagi Jumaat ni. Kueh..kueh..kueh..

6 benda yang pelik tapi benar tentang ~inilah saya~:

  1. Sangat obses dengan jam. Tak kira jam tangan ke, jam dinding ke, jam jari ke ataupun menara jam. Memang hobi kumpul jam. Kalau kat meja komputer mesti ada sekurang-kurangnya 3 jenis jam. Rasa ralat sangat kalau tengok jam tu tak tepat pada waktunya.
  2. Suka clay toy, sebab sangat cute. Contoh: Sila klik kat sini
  3. Tak suka masak nasi, tapi suka makan nasi.
  4. Suka kumpul setem. Macam budak-budak sekolah.
  5. Sangat suka makanan yang berperisa pisang. Seperti pisang goreng, cekodok pisang, aiskrim pisang dan jus pisang.
  6. Pernah membina sebuah robot. Projek terbengkalai sebab ketandusan modal.
Eh! Pelik ke?

Okey 6 manusia yang saya pilih untuk meneruskan tradisi TAG ini ialah


Apa lagi kamu semua, mula...........

Rules & Regulations:
Each player of this game starts out by giving 6 weird things about themselves. People who get tagged need to write in a blog of their own 6 weird things as well as state the rules clearly. In the end, you need to choose 6 people to be tagged and list their names. After you do that, leave them each a comment letting them know you tagged them and to read your blog!


Petang di Kuala Lumpur

Tadi petang saya duduk melepak bersama-sama Bob dan Rina. Bob dan Rina adalah pasangan dua sejoli yang akan menikah tidak lama lagi. Memang kami selalu duduk melepak bersama, kadang-kadang kami duduk melepak di Oldtown Kopitiam di CM atau di Maju Curry House berhampiran Jalan Melaka. Tapi tadi kami ber'huu haa' di Maju Curry House. Saya memesan secawan horlick panas dan mereka pula memesan dua cawan teh o limau besar panas untuk mereka sendiri.

Ketika saya sedang sibuk bercerita dengan Bob, tiba-tiba Rina memintas perbualan kami. Oleh kerana sifat budiman (gentleman) kami yang sangat tinggi, maka kami berdua memberi laluan kepada Rina untuk menceritakan pengalamannya ketika tersangkut akibat kesesakan lalu lintas berhampiran dengan stesyen PUTRA LRT Masjid Jamek.

Rina menceritakan bagaimana pada suatu petang dia melihat sebuah keluarga yang terdiri daripada 3 anak beranak. Si ayah yang sudah uzur duduk diatas sebuah kerusi roda sambil ditolak oleh isterinya yang juga kelihatan uzur dan seorang anak muda yang merupakan anak kepada pasangan tersebut. Anak muda itu kelihatan berpakaian ranggi ala-ala seperti seorang mat rempit dan berumur dalam lingkungan 13 - 15 tahun.

Rina menceritakan bagaimana anak muda itu memaki-maki ayahnya yang sudah uzur itu sambil dia menunjal-nunjal kepala ayahnya. Kelihatan si ayah seperti melindungi kepalanya dengan tangannya. Dan si ibu pula memeluk si ayah sambil menangis menagih simpati dari anaknya tadi. Kejadian ini berlaku dikhalayak ramai. Saya tidak sanggup menyatakan apa yang terjadi seterusnya. Amat memilukan sekali.

Apa yang cuba saya sampaikan disini, lihat betapa anak-anak kita pada hari ini sudah hilang perasaan sayangnya terhadap ibu bapa masing-masing. Anak yang dulunya dimanja-manja kini menunjal-nunjal kepala bapanya sendiri. Anak yang dulunya dipuji-puji kini mengembalikan puji-pujian itu dalam bentuk maki-makian dikhalayak ramai.

Pesan saya pada setiap jiwa yang bergelar anak.

Lupakah kamu,
Pada senandung yang pernah bonda lagukan dahulu,
Supaya anak bila besar menjadi insan yang bertakwa,
Pada pelukannya yang menghangatkan kedinginan malam,
Yang menghilangkan segala resah dan kedukaanmu,

Lupakah kamu,
Pada jerih payah bapa yang membanting tulang,
Mencari rezeki halal untuk membesarkan mu,
Pada kucupannya yang sering tidak kelihatan,
Tetapi berbunga nun dilurah yang paling dalam,

Lupakah kamu,
Pada syurga yang terletak di tapak kaki bonda,
Pada redha yang terletak dalam doa bapa,
Apakah dunia dan segala isinya dapat menyelamatkan kamu dari neraka Allah,
Apakah teman-teman yang kamu banggakan itu dapat membela mu dari kenyataan yang digeruni,

Lupakah kamu wahai anak,
Tentang kasih bonda yang mengalir sepanjang zaman,
Tentang cinta ayah yang menuntun ke syurga-Nya,
Sejuk dan lembut bak butiran kapas yang berguguran.
Hening dan bening bak airmata suci dari tanah hampa


P/S: Seusai mendengar kisah Rina, ternyata ada genangan yang masih belum kering.

Aduhai....

Seperti dijangkakan. Tiada kesesakan berlaku dikawasan TUDM Sungai Besi. Bas express yang saya naiki bergerak begitu lancar. Tanda aras bateri Ipod saya menunjukkan tanda separuh dan berwarna merah. Kenapa lah saya tidak mencaj Ipod saya sebelum keluar bekerja pagi tadi. Kebetulan pada waktu itu saya sedang mendengar lagu nyanyian kumpulan Air Supply yang bertajuk Daybreak. Pagi-pagi lagi dah layan perasaan. Hampir tertidur saya mendengar alunan melodi yang begitu mendayu-dayu. Hawa sejuk yang keluar dari muncung pendinginan menyebabkan saya mengetatkan jaket saya. Tak cukup dengan itu, saya ambil 'backpack' saya kemudian saya menyelimuti badan saya seolah-seolah seperti sehelai 'comforter'.

Aduhhh!! kenapa lah saya bekerja hari ini. Kan lebih baik kalau saya tidur sahaja dirumah.

Nguah! nguah! nguah!

Apa-apalah...

"Awak! I love you," teruna.

"Awak! sebenarnya saya tidak pernah melafazkan kata keramat cinta pada seorang lelaki. I love you too," gadis menjawab.

Ungkapan di atas biasa di dengari di dalam lafaz skrip cerita-cerita cinta yang sering di ulang tayang di kaca TV. Apakah realiti kepada ungkapan cinta ini?

Kadang-kadang bila saya merenung kembali jalan kehidupan saya yang sudah-sudah, sedikit sebanyak terasa agak tersentuh hati ini. Tersentuh bilamana memikirkan, bilakah akan datang seorang bidadari yang akan mengucapkan dialog keramat tersebut kepada saya. Yang juga bererti sudah sampai masanya saya menamatkan zaman bujang yang serba sunyi ini. Sunyi kerana sepanjang malam saya akan menaip entri blog tanpa ditemani oleh sesiapa. Sunyi kerana tiada sesiapa yang boleh menemani saya membancuh secawan kopi panas untuk menghangatkan kedinginan malam.

Mungkin ini realitinya. Bercerita tentang realiti sebenarnya kita mempunyai dua pilihan. Pertama untuk mempercayai bahawa apa yang dipaparkan di kaca TV tidaklah seindah yang berlaku di dalam kehidupan harian kita. Kedua, percaya dengan segala yang dimomokkan oleh siaran-siaran tersebut dan berharap agar berlaku suatu keajaiban dimana apa yang kita rasakan seronok itu akan terjadi di dalam kehidupan kita sendiri. Mungkin kah? Sekali lagi pilihan di tangan kita.

Bercerita tentang cinta amat memenatkan, sebab terlalu banyak pandangan. Pandangan dari pelbagai perspektif. Ada yang objektif dan ada juga yang subjektif dan kebanyakkannya disandarkan dari pengalaman hidup masing-masing. Jadi apa piawai kepada maksud cinta itu sendiri? Maksud piawai disini apakah 'standard' ataupun makna cinta yang dapat diterima pakai oleh seluruh alam ini. Dalam erti kata lain, apakah asas dalam mendefinasi semula makna cinta dalam pengertian mutlak.

Mungkin ini terlalu berat untuk semua.

Arggh!!! mungkin kita kena lakukan sesuatu yang lebih mudah seperti lepak-lepak sambil menonton cerita cinta. Ini bukan kerja kita tapi ini kerja pakar bahasa.


Nanti dulu, topik cinta masih belum habis. Ada sedikit lagi yang perlu diperkatakan. Masih ingatkah kamu terhadap kes-kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa sekarang ini. Apakah puncanya. Puncanya, si gadis amat mencintai si lelaki sehingga sanggup menyerahkan kehormatan mereka kepadanya. Dan akhirnya wanita-wanita ini mengandung.

Eh nanti dulu. Ada satu lagi. Kes penceraian yang begitu berleluasa sekarang ini. Kenapa berlaku penceraian. Alasan sebab sudah tidak ada persefahaman. Kenapa tidak ada persefahaman, sebab sudah tidak ada cinta.

Ini sahaja kah? oh tidak, ada banyak lagi, keruntuhan institusi kekeluargaan contohnya. Apakah puncanya? Sebab si suami atau si isteri yang terlalu sibuk dan cintakan kerja mereka berbanding dengan menjaga dan memelihara kerukunan rumah tangga mereka sendiri.

Inikah makna cinta pada dunia ini?

Sedangkan secara logiknya cinta tidak akan mendatangkan kemudaratan kerana ia adalah belai halus yang hanya dapat dirasakan didalam jiwa dan perasaan kita sendiri. Ia suci dan ia juga murni. Cinta tak mungkin hilang kerana ia bukanlah sesuatu yang material yang boleh dicuri-curi. Ia adalah perasaan, ia ada di dalam hati kita.

Ternyata kita masih mencari-cari definasi hakiki kepada ungkapan cinta ini. Memandang dunia dari sudut spektrum cinta sejati amat berbeza jika dibandingkan melihat dunia ini dengan pandangan hawa nafsu semata-mata. Seperti orang bercinta yang tidak pernah merasa bosan apabila memandang wajah kekasihnya. Mungkin begitulah perasaannya apabila melihat kehidupan ini dengan pandangan cinta sejati. Alangkah bahagianya dunia ini, wujud persefahaman, tidak ada buruk sangka dan hasad dengki, tidak ada peperangan yang ada hanyalah sebuah tafsiran kepada sebuah ungkapan cinta iaitu BAHAGIA.

Ermm...mungkin cinta ini bukan lagi khusus untuk seseorang.

Eh! saya mahu menyambung menonton semula cerita cinta kegemaran saya. Jumpa lagi.


Loceng Pagi

Bergemerincing,
Kriiiiiinnnnnnnnnggggggg! (*lihat nota kaki)
Mendesak kelopak untuk terbuka
Disetiap dini hari sebelum subuh lantak (**lihat nota kaki)

Bergemerincing,
Kriiiiiinnnnnnnnnggggggg!
Bangunlah duhai mata yang masih terjahit
Oleh kepenatan malam yang berpanjangan

Bergemerincing,
Kriiiiiinnnnnnnnnggggggg!
Jagalah wahai hati yang sering terlupa
Sebentar lagi azan akan bergema

Bergemerincing,
Kriiiiiinnnnnnnnnggggggg!
Bersedialah
Sebentar lagi engkau akan berkerja

Bergemerincing,
Kriiiiiinnnnnnnnnggggggg!
Mulakan langkah
Dengan kalimat la ilah ha illallah

Bergemerincing,
Kriiiiiinnnnnnnnnggggggg!
Pergilah dengan restu kasih isteri dan cintamu
Moga kau pulang dengan rezeki yang diberkati

Nota Kaki:
*Chingg! Chingg! Chingg! ditukar kepada Kriiiiiinnnnnnnnnggggggg!
**Pembetulan: Disetiap dini hari sebelum subuh lajak


Terima kasih diatas lontaran idea yang telah diberikan.
. . . . . . . . . . . . .


Saya sebenarnya tidak begitu pasti tentang ejaan "Bergemerincing". Adakah ia dieja dengan cara yang betul atau tidak?

Maksud lantak yang sebenarnya? Adakah penggunaan kata 'subuh lantak' itu betul dalam konteks ayat itu sendiri? Mohon diperbetulkan jika tersilap. (perkataan subuh lantak diwarnakan dengan warna biru)

Saya cuba untuk mengakses www.dbp.gov.my untuk mendapatkan penyelesaian diatas, tetapi malangnya server DPB pun turut serta bercuti dalam perayaan tahun baru cina ini. Mohon bantuan pada yang sudi.

Selamat bercuti pada kamu-kamu semua. Berhati-hati semasa memandu. Ingat! masih ada yang sayang pada kamu.

Perahu kertas

Kertas surih itu ku lipat-lipat,
Bersegi sama,
Ku lipat-lipat lagi,
Sehingga menjadi sebuah perahu kertas comel,

Ku mencangkung ditepi kali,
Ku lepaskan perahu kertasku,
Teroleng-oleng dibawa arus nipis,
Bersama satu harapan di hati,

Perahu kertas ku jauh dibawah arus nipis,
Kian tenggelam ditelan air,
Berpusing-pusing seolah hilang kemudi,
Membawa satu harapan yang hampir mati,

Perahu kertas ku hilang ditelan air,
Tapi aku masih ada kertas yang lain,
Ku lipat-lipat sehingga ia menjadi sebuah perahu kertas comel yang lain,
Harapan ku berbunga kembali.

Adakah anda masih ingat?

Masihkan anda ingat tentang entri saya yang bertajuk Mee Goreng. Ternyata kedai mamak tempat saya membeli mee goreng tersebut telah berpindah. Berpindah aras, dari tingkat 3 ke tingkat 1. Kali ini lebih besar dan dilengkapi dengan penghawa dingin.

Satu masalah besar yang biasa dihadapi oleh pengunjung-pengunjung restoran mamak ini ialah tentang bau yang melekat ketika kami sedang berseronok makan dan minum di restoran tersebut. Mula-mula bau wangian "Dunhill Desire". Kemudian bau wangian tersebut akan hilang dan diganti dengan bau roti canai.

Perpindahan aras ini ternyata telah berjaya mengurangkan masalah tersebut. (pengakuan salah seorang sahabat saya, Deeni)

Satu perkara lagi, saya pasti anda masih ingat tentang entri saya yang bertajuk Berjimat Cermat Tidak Semestinya Membawa Berkat. Saya telah menemui satu contoh surat perletakan jawatan yang dikirim melalui email oleh salah seorang sahabat baik saya, Izz. Saya sangat berkenan dengan isi kandungan surat tersebut.


Perkara terakhir yang saya begitu pasti yang anda masih ingat lagi adalah berkenaan entri saya yang bertajuk Telanjang Dalam Terang Bahagian 1 dan Bahagian 2. Saya pasti ada dikalangan kamu yang begitu teruja untuk mengetahui kesinambungan kisah tersebut. Sebenarnya kisah tersebut telah disiapkan. Saya berharap anda dapat terus bersabar dengan saya. Cuma jika anda ingin mendapatkan versi penuh kisah tersebut (versi tanpa potong) sila dapatkan:-


Jakun01 - Ini bukan panduan penyembelihan

Tunggu apa lagi? Keh..Keh..Keh..


Telanjang dalam terang - Bahagian 2

"Mahu kemana?" tanya pemandu teksi tersebut. Seorang lelaki tua berbangsa tioghua.

"Saya mahu ke bandar syurga. Iyer bandar syurga Inderapura," jawab saya.

"Ohhh boleh saje," jawab pemandu teksi tersebut sambil tersenyum menampakkan gigi kapaknya yang bersalut emas.

Pemandu teksi tersebut membuka siaran radionya. Kedengaran perlahan sebuah lagu okestra cina lama. Mendayu sahaja bunyinya.

Saya bertanya pada pemandu tersebut. "Sekarang apa macam business, ada okey ke?"

"Oh business macam biasa, kadang-kadang naik kadang-kadang turun," jawab pemandu tersebut sambil menguatkan siaran radionya itu.

Saya diam sambil saya melemparkan pandangan keluar. Kelihatan garis kehidupan bergerak selaju gerakan teksi tua itu. Tanpa saya sedari, saya menghampiri destinasi saya.

"Encik mahu berhenti di mana?" tanya pemandu teksi tersebut.

"Oh berhentikan saya dihadapan sana," jawab saya.

"Berapa tambangnya?" tanya saya selepas teksi tua itu berhenti betul-betul berhampiran dengan sebuah pusat membeli belah yang terkemuka.

"Oh! tidak mahal, 150 wang perak sahaja," pemandu teksi.

"Apa!" saya separuh menjerit.

Saya hilang kesabaran. Teksi buruk macam ni pun mengenakan bayaran yang sebegitu mahal.

"Encik tidak perlu marah pada saya, inilah premium yang perlu dibayar diatas nama sebuah peradaban," jelas pemandu teksi tersebut.

Saya terkedu.

"Encik kena ingat, peradaban bererti kemodenan. Kemodenan bererti kita terpaksa membayar lebih untuk bersaing dengan masyarakat dunia yang lain. Kita perlu menjadi bangsa yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang telah maju. Sebagai contoh, kita kena membayar tol untuk menikmati laluan yang selamat dan selesa. Bila kita ada laluan yang selamat, maka berduyun-duyun orang akan mengunakan laluan ini. Ini secara tidak langsung akan menjana ekonomi negara dan membuka peluang pekerjaan. Bila ekonomi negara kukuh, bererti kita punyai wang untuk membina lebih banyak bangunan tinggi, kita boleh beli pesawat-pesawat besar dan kita ada budget yang besar untuk lain-lain perancangan negara. Dan juga bila peluang pekerjaan terbuka luas, maka rakyat akan senang hati. Mereka tidak akan memberontak menentang kerajaan. Kita akan mencipta keamanan yang kita hendak," jelas pemandu teksi itu bersungguh-sungguh.

"Encik pemandu teksi, bagaimana dengan persoalan saksiah? Persoalan moral? Persoalan iman? Apakah nilai peradaban yang dikejar itu mampu mengatasi kebejatan-kebejatan jahiliyah yang berlaku sekarang ini. Semakin kita maju dari segi material, sebenarnya kita semakin kembali ke kurun jahiliyian. Apakah mungkin wang ringgit itu mampu membeli semula nilai saksiyah, nilai moral dan nilai iman yang telah hilang itu," bidas saya.

Kali ini giliran pemandu teksi itu pula yang terkedu.

Saya membayar harga yang dipinta tadi.

"Terima kasih diatas premium peradaban encik tadi, sesungguhnya peradaban yang dibina diatas kezaliman yang dikenakan ke atas rakyat yang tertindas tidak akan berkekalan lama. Ia akan musnah dan hancur seperti yang berlaku pada peradaban-peradaban yang terdahulu," sambung saya sambil saya keluar dari teksi tersebut.

Saya menutup pintu teksi dan lantas merenung langit Inderapura.

bersambung...

Lihat Telanjang dalam terang - Bahagian 1

Selebriti yang meniru rupa saya...

Kepada mereka-mereka yang mengilai Jericho dan Dean Chain ketahuilah bahawa saya memiliki lebih 51% iras rupa mereka. Baru saya sedar yang saya ni jugak agak hensem orangnya.

Ilham dari ~inilah kanda-raina~.

ha! ha! ha! Kepada yang lain-lain korang patut mencubanya.

Sangat kewl.

* Segala yang indah adalah milik mutlak Allah swt. Kita hanya meminjamnya buat sementara waktu.

S A L A M L I B U R S E M O G A C E R I A S E L A L U


Expose War Crimes

Tadi siang saya melawat ke pameran 'Expose War Crimes - Criminalise War' yang diadakan di PWTC, Kuala Lumpur.

Tak sangka, begitu dasyat sekali angkara perang ini.

Air mata kepiluan mulai bergenang. Saya tewas dengan kesengsaraan yang dialami oleh mangsa-mangsa perang ini.

Pilu, sedih, dendam...

Saya pilu melihat penderitaan mereka. Saya sedih melihat ketidak mampuan kita untuk berbuat sesuatu. Saya dendam dengan gelombang bangsat tirani yang memusnahkan keharmonian dunia.

Salah siapa?
Mungkin gendang jihad sudah patut dipalukan...

Foto-foto pameran. Sumber Lensa-Malaysia


Untuk melihat lebih banyak foto sila lawati Lensa-Malaysia. Untuk maklumat lanjut tentang pameran ini sila lawati Perdana-Global-Peace

T U N G G U A P A L A G I ?


Telanjang dalam terang - Bahagian 1

Bocah kecil itu bergerak dari satu meja ke meja yang lain. Setiap kali dia datang ke setiap meja yang berpenghuni dia akan menghulur sehelai kertas. Mungkin surat kebenaran dari pihak berkuasa sesuatu tempat yang membenarkan dia untuk mengutip sedekah jariah manusia-manusia yang terdapat di persekitarannya. Kalau bernasib walang, bocah itu akan dihambat oleh tuan punya kedai. Kalau bernasib baik dia akan mendapat habuannya.

Disuatu sudut yang lain pula. Kelihatan pemuda-pemudi bangsa, pengokoh tiang agama sedang bersenang-senangan di jalanan. Setiap kali si cantik melintasi mereka pasti akan kedengaran siulan untuk menarik perhatian si gadis. Berpakaian jeans koyak rabak dan berbau hapak. Mereka kelihatan begitu berbangga dengan tradisi yang mereka warisi.

Datang seorang lelaki kepada saya, "Abang ada rokok?".

Saya sedang berjalan pantas ketika itu. Kerana sedang mengejar suatu keperluan. Saya tidak mempedulikan permintaan lelaki tersebut kerana saya pasti niatnya bukan sekadar untuk mendapatkan sebatang rokok. Dia ingin lebih daripada sebatang rokok.

Lelaki itu terus cuba untuk mengikuti saya. Saya mempercepatkan langkah dan menahan sebuah teksi.

Teksi itu bergerak dan wajah lelaki itu mulai hilang dari pandangan saya.

Bersambung...

Telanjang (dibaca sebagai kekurangan/masalah yang jelas) dalam terang (dalam kesedaran)

Limau cina

Petang tadi kami (saya dan rakan-rakan pejabat) ada menerima lima kotak limau cina yang bersaiz kecil daripada salah seorang broker kewangan yang sentiasa berurusan dengan kami. Pemberian ini adalah bersempena dengan tahun baru cina yang akan menjelang tiba tidak beberapa lama lagi.

Manis sekali. Dan limau ini juga tidak berbiji.

Dan limau ini sangat sejuk ketika kami menerimanya.

Satu kotak kami berikan kepada bahagian operasi kami.

Selebihnya, kami makan sendiri.

Memang manis. Anda patut mencubanya.

Anda mahu? Marilah kesini...

. . . . . . . . . .

Oh yer! Masalah streamyx saya telah berjaya diselesaikan dengan cara saya membayar tunggakan bil. Harap maklum.


Cerita pagi rabu...

Semalam malaman saya tidak dapat mengakses internet dirumah. Saya periksa modem, tiada sebarang unsur-unsur perbuatan sebotaj atau khianat terhadap modem tersebut. LED nya masih menyala seperti biasa. Masih juga berkelip-kelip ketika dihidupkan dan menyala terus apabila sambungan mulai stabil. Saya memeriksa kabel, kabel tersambung seperti biasa. Kemudian saya memeriksa sambungan kabel di kotak kecil yang bersambungan dengan telefon. Kelihatan semuanya seperti biasa, tiada tanda-tanda sambungan longgar atau terputus.

Akhirnya saya memeriksa bil streamyx saya...

Ohw..... rupanya masih ada tunggakan yang belum dijelaskan.

Mungkin ini sebabnya. Apa-apa pun biar saya periksa dengan pihak yang berkenaan.

. . . . . . . . . . .

Berkenaan isen saya yang terdahulu. Kepada mereka yang tidak memahami jalan cerita tersebut memang tujuannya adalah untuk tidak memahamkan anda. Yeaaa! Saya telah berjaya mencapai objektif mutlak saya. Ho! ho! ho!

. . . . . . . . . . .

Komen-komen anda yang tidak berbalas akan dibalas pada hari ini. Harap maklum.

. . . . . . . . . . .

Semalam saya bercuti. Hari ini saya sudah mulai bekerja semula. Terasa macam nak tidur saja.

~s e k i a n b u a t w a k t u i n i ~

Ini rahsia kita. Shuttt!!!!

"Masayoshi! malam ini adalah malam penentuan. Antara kemulian dan kehinaan maruah nenek moyang kita. Malam yang menentukan antara hidup dan mati bangsa kita. Pada kau kami serahkan bebanan ini. Engkaulah harapan terakhir kami", pesan guru Katsu.

"Masayoshi! sebagai seorang ninja, kau harus menerima amanah ini dengan berani dan perasaan tanggungjawab. Ingat! andai engkau gagal, tusuk pisau ini ke jantungmu. Engkau tidak layak untuk hidup dimuka bumi ini", pesan guru Katsu lagi sambil menyerahkan sebilah pisau kepada Masayoshi.


Petang sebelum terjadi peristiwa penting itu, Masayoshi duduk bertakfakur di ruangan gelap bawah tanah. Dia hanya akan keluar apabila masanya telah tiba sahaja. Sedang dia duduk, tiba-tiba kedengaran suatu suara bisikan halus.

"Chaaaaaaaaaar............", suara aneh.

"Chaaaaaaaaaar............", suara aneh berbunyi lagi.


Masayoshi berpeluh. Dia cuba untuk menguatkan semangatnya dengan membaca mentera yang telah dipelajari dari guru Katsu. Semakin kuat dia membaca mentera itu semakin kuat juga suara aneh itu berbunyi.

"Chaaaaaaaaaar.......", kali ini lebih kuat.
"Chaaaaaaaaaar.......", kali ini lebih kuat dari tadi.


Masayoshi semakin berpeluh. Perasaannya merasakan sesuatu yang tidak baik akan berlaku. Tapi Masayoshi tidak tahu apa bendanya. Perasaannya semakin tertekan, peluh mula membasahi tubuhnya. Masayoshi lantas menggenggam erat pedangnya yang diberi nama Daujin Shogun itu.
Secara tiba-tiba sesuatu dari dalam gelap datang melayang menuju ke arah mukanya. Dia tidak sempat berbuat apa-apa.

Dush!!! terasa seperti satu pukulan keras hinggap di mukanya. Masayoshi langsung tidak sedarkan diri.


Malam itu Masayoshi tersedar. Dia lantas bangun. Dia masih ingat kejadian pada petang tadi. Tapi itu tidak akan mematahkan semangatnya dari melaksanakan tugas yang telah diberikan kepadanya. Masayoshi memakai topeng ninjanya dan menyisip Daujin Shogun di pinggangnya.

Kali ini dia bersedia. Dia tersenyum sambil berkata di dalam hatinya, "Membujur lalu melintang patah, alang-alang mandi biar basah, kali ini kalau nak mati, matilah". Masayoshi tidak kesal.

Masayoshi bergerak dengan kelajuan yang begitu pantas di dalam gelap. "Zupp! Zapp! Zupp! begitu pantas sehingga kelibatnya pun tidak kelihatan. Dari kejauhan dia menghampiri sebuah bangunan besar. Dari bawah cahaya sinar bulan kelihatan arca besar yang menghiasi pintu masuk ke bangunan. Kelihatan bayangan seperti huruf 's' terukir di arca hasil daripada refleksi cahaya bulan tersebut. Kelihatan juga beberapa orang pengawal bersenjata mengawal di sekitar bangunan tersebut. Lori-lori besar keluar masuk melalui pintu utama.

Masayoshi memanjat pagar dengan senyap tetapi cepat sehingga para pengawal tidak menyedari akan kehadirannya. Dia menyusup masuk ke dalam bangunan tersebut. Di dalam bangunan tersebut dia melihat begitu banyak mesin-mesin besar yang tidak terhingga bilangannya. Dia memerhati. Ada ramai juga orang disini. Mereka berpakaian serba putih. Mereka juga memakai topeng putih. "Adakah mereka juga ninja seperti aku", bisik hati Masayoshi sedikit risau.

Masayoshi hanya memerhati sahaja dari kejauhan. Dia melihat sekumpulan lelaki memunggah sesuatu dari lori. Barang-barang yang dipunggah itu kemudianya di asing-asingkan. Ada susu, ada gula, ada cokelat, ada 'cocoa butter', ada kacang, ada pewarna dan bermacam-macam lagi. Pewarna sahaja cukup banyak ada pewarna kuning 5, merah 40, biru 1 air, kuning 6 air, biru 2 air, merah 40, kuning 5 dan juga kuning 6.

Pada bahagian pertama dia melihat sekumpulan lelaki membancuh 'cocoa butter' tadi. Cokelat, susu dan gula dicampur sekali. Setelah bancuhan itu sebati, ia di masukkan dan di masak ke dalam sebuah periuk besar.

Dibahagian yang lain Masayoshi melihat pewarna tadi dimasukkan secara berasingan di dalam beberapa mesin yang besar. Pewarna itu dipanaskan dan dicairkan. Beberapa bahan rahsia juga telah dimasukkan kedalam pewarna itu tadi. Masayoshi cuba melihat dengan lebih jelas apa yang dimasukkan kedalam bancuhan itu tadi. Tapi sayangnya dia gagal untuk mengenal pasti bahan rahsia tersebut.

Dibahagian terakhir, dia melihat banyak mesin-mesin besar yang dikawal secara robotik bergerak dengan begitu sistematik. Masayoshi bergerak menghampiri bahagian tersebut. Dia memasukkan tangan kanannya dan mengambil sampel akhir dari bahagian tersebut.

TIba-tiba...


Peceroboh dikesan! Penceroboh dikesan! lantas siren keselamatan berbunyi dengan kuatnya.

Kelihatan beberapa orang pengawal yang bersenjata meluru menghampiri kedudukan Masayoshi. Masayoshi telah bersedia, dia menggenggam erat Doujin Shogunnya sambil dia cuba untuk menyusup keluar semula dari bangunan tersebut. Masayoshi bergerak pantas.

"Itu dia!", jerit salah seorang pengawal.


Terjadi pertempuran hebat.

Masayoshi kelihatan begitu tenang sekali. Tumbukan demi tumbukan dari para pengawal tersebut berjaya di elaknya dengan mudah. Tiba-tiba Masayoshi melompat tinggi sambil mengepak-ngepakkan tangannya seperti gaya burung helang menerkam tikus. Satu tendangan padu hinggap didada salah seorang pengawal tersebut sehingga menyebabkan pengawal tersebut jatuh tersungkur. Melihat itu, pengawal-pengawal yang lain terkejut. Ada yang terkucil dan ada juga yang melarikan diri.

Masayoshi berjaya meloloskan diri dari kepungan para pengawal tersebut dan cuba untuk keluar terus dari bangunan tersebut.


Tiba-tiba.


"Chaaaaaaaaaar............", suara aneh yang pernah didengarinya.

"Chaaaaaaaaaar............", suara aneh berbunyi lagi.


Masayoshi berpaling mencari arah datangnya bunyi tersebut.

"Ya Allah! ini ke bendanya. Buat aku suspen aje", gerutu Masayoshi.


Setelah itu Masayoshi meneruskan langkahnya dengan pantas. Zupp! Zapp! Zupp! menyelusup didalam kegelapan malam. Tidak sabar rasanya untuk dia pulang bertemu dengan guru Katsu.


Setelah lama berlari, akhirnya dia sampai di pondok perlindungannya. Dia menjerit memanggil guru Katsu.


"Guru! Guru! saya sudah tahu rahsianya", panggil Masayoshi.

"Apa dia kau bising malam-malam buta ni", jawab guru Katsu.

"Chaaaaaaarr......, Masayoshi termengah-mengah.
"Chaaaaaarr.....itu rupanya, Masayoshi masih lagi termengah-mengah.

Pup!!!... satu starlait melekap penuh di dahi Masayoshi.


"Cuba kau cakap betul-betul, macam budak gagap nak mampus aje", suara guru Katsu sedikit meninggi.


"Chaaaaaaaair di mulut guru....tidak...tidak ditangan", sambil Masayoshi mengeluarkan segenggam coklat M&Ms yang dicurinya dari kilang tadi.

"Betul guru! tengok ni tak cair langsung, tapi bila guru letak dalam mulut mesti cair punya", sambung Masayoshi sambil tersengih-sengih sumbing dihadapan gurunya.

"Bodoh!!! Aku suruh kau buat kek coklat, bukannya suruh kau pegi curi coklat", sergah gurunya.

Satu debikan maut hinggap di tulang rusuk Masayoshi.


Malam itu kedengaran satu jeritan mengaduh yang begitu berpanjangan sehingga ke dini hari.


Auooowwwwwwwwwwwwwwwwww!!!!!!


Keesokkan harinya Masayoshi bangun dengan kesakitan yang masih terasa di bahagian rusuk dan kesan cakaran kucing dimukanya.


Ha! ha! ha! dah syohhh!! pergi buat kerja masing-masing.

. . . . . . . . . . .

Pengenalan kepada Cabaran Sengal:

Cabaran sengal merupakan cabaran yang disambut oleh beberapa orang blogger yang bertemu dan secara tiba-tiba mendapat idea tentang entri yang seterusnya. Kali ini idea datang apabila salah seorang blogger menceritakan bagaimana kesukaran mental yang dihadapi apabila menghadiri sessi temuduga kerja di Microsoft Malaysia. Salah satu soalan yang di tanya adalah bagaimana Coklat M&Ms di proses. Jadi entri kali ini lebih menceritakan tentang bagaimana M&Ms diproses. Ini merupakan cabaran kedua selepas cabaran yang pertama dahulu iaitu "Cabaran Foldover KLCC' 06". Dan cabaran kali ini juga disambut oleh Famia dan LediFirst
.

Entri ini juga boleh diakses di BlogBridge.BlogSpot.

Kepada mereka berdua, semoga berjaya. :-)



Entri ini tidak ditaja oleh M&Ms. Harap maklum.



Saya mencintai kamu...

Ukhuwah
Album : Latar Dunia Islam
Munsyid : Suara Persaudaraan
Sumber lirik: http://liriknasyid.com
Muat Turun Lagu ini ('Right click & Save':Saiz 9MB)

Tiada kata indah seindah kata ukhuwah
Dalam sebuah jalinan persaudaraan Islam
Jalinan yang abadi di sisi Tuhan
Berawal dari sebuah perkenalan

Semai tumbuh mekar berbatang serta berdahan
Berhiasakan ranting dan rerimbun dedaunan
berbuahkan cinta suci karena Tuhan
Damai kalbu sejuk terasa indah di pandang

Rasululloh mengajarkan tentang arti kata cinta
Yang harus diungkapkan pada sahabat atau saudara
Dengan kata - kata indah yang terungkap dari lisan
Seindah yang terpendam dalam kalbu

Di altar bandara Husain Sastra Negara
Kutemukan kurasakan sebuah fenomena cinta
Kusadari sepenuhnya cinta adalah rahmat-Nya
Yang harus di jaga dan dipelihara

Alloh kuatkanlah serta liatkanlah
agar cinta berbuahkan payung - payung perlindungan
dihari kiamat di hari tiada naungan kecuali dengan izin-Mu

Kunantikan janji-Mu
Kuberharap pada-Mu
Kuberada diantara tujuh golongan yang kau lindungi

Tempatkanlah diriku
Dudukkanlah diriku
Diatas mimbar yang terbuat dari cahaya-Mu

du.. du.. du..

Kembali ke "Tiada Kata indah......."
Kembali ke "Alloh kuatkanlah......."

* Anda semua, saya sangat-sangat mencintai kamu...


Entri tulis semula

Entri ini telah diberi nafas yang baru. Ia adalah entri saya yang terdahulu. Jalinan asal boleh didapati dengan mengklik (disini). Iya! mungkin anda pernah membacanya. Tapi saya tidak puashati dengan gaya bahasa yang digunakan pada ketika itu. Oleh kerana itu saya mencuba nasib saya dengan gaya bahasa yang konon-kononnya nampak lebih berketrampilan. Kononnya la.

Terimalah...

Bumi itu tidak pernah kekeringan cintanya...

Menyelusuri lorong-lorong yang berseliratan di Khan El-Khalili seperti kita sedang menabur wang keluar dari poket kita tanpa kita sedari. Tempat ini merupakan di antara bazar yang tertua didunia dan telah wujud sejak zaman pemerintahan firauan di Mesir. Pelbagai barangan dari makanan, barang-barang keperluan, tanda hati dan sebagainya ada dijual disini.

Kelekaan membeli-belah menyebabkan saya hampir terlupa akan teman-teman yang mengiringi saya.
Hampir-hampir saya terbuai dengan pemandangan yang terdapat disekitar bazar ini sehinggalah pemandu pelancong mengingatkan saya tentang perancangan yang seterusnya.

"Masa masih panjang, esok kita akan kembali semula ke sini. Seterusnya kita akan ke Gaza", bicara Rehem kepada semua yang ada. Terlebih dahulu, izinkan saya memperkenalkan Rahem. Seorang wanita berbadan gempal, rendah dan berbangsa arab muslim. Bukan dengan tujuan untuk menghina tetapi untuk menyatakan bahawa wanita inilah yang banyak mengajar saya tentang erti kemulian hati dan pengorbanan. Beliau merupakan pemandu pelancong bagi kumpulan kami ketika disana. Beliau fasih berbahasa Arab, Jepun, English dan juga France.

Kami meneruskan perjalanan menuju ke Gaza.


Gaza. Bumi gersang. Makam buat raja yang sombong dan takbur. Tapi itu dahulu. Sekarang Gaza dipenuhi oleh lautan manusia. Kebanyakkannya adalah pelancong-pelancong. Dan ada sedikit warga tempatan.


Dari kejauhan saya melihat begitu banyak struktur-struktur batu yang berbentuk segitiga yang bermuka empat. “Sebuah ciptaan yang unggul”, dari sebuah rancangan yang pernah saya tonton di saluran "Discovery". Struktur yang begitu besar membuatkan kita terfikir bagaimana orang-orang yang terdahulu dari kita mampu membina sebuah struktur yang berdimensi sesempurna itu. Mungkin inilah adalah salah satu daripada nikmat tuhan yang pernah dinafikan oleh raja yang sombong itu.


Saya melintasi sekumpulan penduduk tempatan. Iyer! sebuah keluarga dari kalangan penduduk tempatan. Seorang ibu muda bersama-sama dengan anak-anaknya yang masih kec
il. Cantik dan comel sekali. Mungkin mereka sedang berehat melepaskan lelah. Saya bersama teman-teman yang lain mendekati mereka. Rupanya si ibu sedang memberi anaknya yang masih kecil itu makan. Berselera. Saya cuba berbual. Tapi oleh kerana saya tidak pandai berbahasa arab menyebabkan saya berkomunikasi hanya dengan menggunakan bahasa isyarat. Dia faham. Lantas dia menyerahkan bayi perempuannya yang comel untuk kami dukung. Saya dan teman bergilir-gilir mendukung bayi tersebut sambil salah seorang dari kami tidak henti-henti menekan picu kamera.

Tiba-tiba dari kejauhan saya terdengar suara teriakan dan sorakan budak-budak. Kelihatan dua orang budak sedang dikerumuni oleh budak-budak yang lain. Oh yer! Disini terdapat begitu ramai-ramai kanak-kanak warga tempatan. Kedatangan pelancong seperti kami memang seperti membawa rahmat kepada mereka. Masakan tidak. Kerana pelancong-pelancong seperti kami adalah sumber pendapatan bagi mereka. Fenomena ini bukan sahaja berlaku di bumi Nabi Allah Musa ini, tapi ia juga berlaku dimana-mana sahaja diseluruh pelusuk dunia.

Baiklah, kanak-kanak ini sebenarnya menjual tanda hati seperti ‘key chain’, baju-baju, poskad dan bermacam-macam lagi.
Rupa-rupanya dua orang budak tadi sedang bergaduh.

Rehem berkejaran ke tengah-tengah kumpulan budak tadi. Rehem cuba untuk meleraikan pergaduhan mereka. Kelihatan darah mengalir dari hidung salah seorang budak tersebut. Setelah berusaha memujuk mereka akhirnya mereka menghentikan pergaduhan.
Saya sempat mengambil beberapa keping gambar.

Tiba-tiba datang seorang wanita arab kepada saya sambil memarahi saya, “How dare you took photo in this situation? You’re crazy”, wanita arab.


Tetapi saya sempat menjawab kepada wanita arab tersebut, “Sorry, I wasn’t taking any photos, but what I did was capturing the moment”. This was moment of love, where you saw even both of them were not tied with any family relationship, but they still helping each others.” Perempuan Arab itu terdiam, dan saya berlalu dari sana. Kemudian Rahem datang semula kepada kumpulan kami.

Kerana foto inilah saya dimarahi oleh perempuan arab tersebut. Nampak tak kesan-kesan darah yang bertaburan berhampiran dengan poskad-poskad yang telah terkoyak?

Menurut Rahem, mereka bergaduh kerana salah seorang daripada mereka menuduh kawannya mencuri poskad yang akan dijual kepada pelancong. Saya mendiamkan diri sambil mendengar apa yang diperkatakan oleh Rahem. Tiba-tiba saya terpikir, betapa mulianya wanita ini kerana sanggup menyusahkan diri mendamaikan kanak-kanak yang sedang bergaduh. Tetapi apa yang lebih penting, apa yang saya nampak ialah sifat kewanitaannya yang begitu terserlah, kelemah-lembutannya ketika memberi nasihat, sanggup mengotorkan tangan sendiri dengan darah hanya semata-mata untuk membantu orang lain dan tidak mementingkan diri sendiri. Bukankan itu semuanya satu bentuk pengorbanan?

Aduh! Betapa mulianya hatimu. Alangkah baiknya keperibadianmu. Dalam diam-diam saya menyimpan satu hasrat murni, mudah-mudahan saya bertemu dengan seorang wanita yang memiliki keperibadian yang murni seperti Rahem. Yang boleh saya jadikan seorang isteri, merangkap teman hidup sepanjang hayat dikandung badan.


* Soalan saya, ada sesiapa diluar sana yang sudi menjadi teman hidup saya?