Telanjang dalam terang - Bahagian 2

"Mahu kemana?" tanya pemandu teksi tersebut. Seorang lelaki tua berbangsa tioghua.

"Saya mahu ke bandar syurga. Iyer bandar syurga Inderapura," jawab saya.

"Ohhh boleh saje," jawab pemandu teksi tersebut sambil tersenyum menampakkan gigi kapaknya yang bersalut emas.

Pemandu teksi tersebut membuka siaran radionya. Kedengaran perlahan sebuah lagu okestra cina lama. Mendayu sahaja bunyinya.

Saya bertanya pada pemandu tersebut. "Sekarang apa macam business, ada okey ke?"

"Oh business macam biasa, kadang-kadang naik kadang-kadang turun," jawab pemandu tersebut sambil menguatkan siaran radionya itu.

Saya diam sambil saya melemparkan pandangan keluar. Kelihatan garis kehidupan bergerak selaju gerakan teksi tua itu. Tanpa saya sedari, saya menghampiri destinasi saya.

"Encik mahu berhenti di mana?" tanya pemandu teksi tersebut.

"Oh berhentikan saya dihadapan sana," jawab saya.

"Berapa tambangnya?" tanya saya selepas teksi tua itu berhenti betul-betul berhampiran dengan sebuah pusat membeli belah yang terkemuka.

"Oh! tidak mahal, 150 wang perak sahaja," pemandu teksi.

"Apa!" saya separuh menjerit.

Saya hilang kesabaran. Teksi buruk macam ni pun mengenakan bayaran yang sebegitu mahal.

"Encik tidak perlu marah pada saya, inilah premium yang perlu dibayar diatas nama sebuah peradaban," jelas pemandu teksi tersebut.

Saya terkedu.

"Encik kena ingat, peradaban bererti kemodenan. Kemodenan bererti kita terpaksa membayar lebih untuk bersaing dengan masyarakat dunia yang lain. Kita perlu menjadi bangsa yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang telah maju. Sebagai contoh, kita kena membayar tol untuk menikmati laluan yang selamat dan selesa. Bila kita ada laluan yang selamat, maka berduyun-duyun orang akan mengunakan laluan ini. Ini secara tidak langsung akan menjana ekonomi negara dan membuka peluang pekerjaan. Bila ekonomi negara kukuh, bererti kita punyai wang untuk membina lebih banyak bangunan tinggi, kita boleh beli pesawat-pesawat besar dan kita ada budget yang besar untuk lain-lain perancangan negara. Dan juga bila peluang pekerjaan terbuka luas, maka rakyat akan senang hati. Mereka tidak akan memberontak menentang kerajaan. Kita akan mencipta keamanan yang kita hendak," jelas pemandu teksi itu bersungguh-sungguh.

"Encik pemandu teksi, bagaimana dengan persoalan saksiah? Persoalan moral? Persoalan iman? Apakah nilai peradaban yang dikejar itu mampu mengatasi kebejatan-kebejatan jahiliyah yang berlaku sekarang ini. Semakin kita maju dari segi material, sebenarnya kita semakin kembali ke kurun jahiliyian. Apakah mungkin wang ringgit itu mampu membeli semula nilai saksiyah, nilai moral dan nilai iman yang telah hilang itu," bidas saya.

Kali ini giliran pemandu teksi itu pula yang terkedu.

Saya membayar harga yang dipinta tadi.

"Terima kasih diatas premium peradaban encik tadi, sesungguhnya peradaban yang dibina diatas kezaliman yang dikenakan ke atas rakyat yang tertindas tidak akan berkekalan lama. Ia akan musnah dan hancur seperti yang berlaku pada peradaban-peradaban yang terdahulu," sambung saya sambil saya keluar dari teksi tersebut.

Saya menutup pintu teksi dan lantas merenung langit Inderapura.

bersambung...

Lihat Telanjang dalam terang - Bahagian 1