Berjimat cermat tidak semestinya membawa berkat

Saya sebenarnya sedang bergelut dengan dua perkara.

Perkara pertama
Perlukah saya bertukar kerja ke tempat yang lain?

Perkara kedua
Atau perlukan saya bersabar dengan situasi kerja yang sedia ada ini?

Baiklah, kisahnya begini. Dipendekkan cerita. Syarikat tempat saya bekerja baru sahaja selesai menjalani proses pengabungan anak syarikat. Dua tiga buah anak syarikat digabungkan menjadi sebuah entiti baru didalam senarai Bank Pelaburan (Investment Bank). 'Group Managing Director' adalah seorang yang baru dilantik untuk menerajui 'group' kami. Dia ni jenis yang berjimat cermat. Bagus. Tapi yang menjadi masalahnya dia berjimat benda-benda yang kami rasakan tak wajar tapi dalam masa yang sama dia membelanjankan wang syarikat dengan begitu banyaknya walaupun memang dia layak untuk berbuat demikian.

Baiklah, saya bagi contoh sebenar. Dia masuk, dia ubahsuai pejabat dengan perabut baru dan perhiasan mewah siap dengan perhiasan kristal yang tak tahu berapa ribu harga dia. Kemudian dia memohon untuk membeli BMW 7 Series. Kemudian dia bawak masuk orang-orang dia ke 'group' kami. Setiap seorang dapat BMW 5 Series. Ok, itu saya tak kisahlah. Memang dia layak untuk menikmati kemudahan itu. Untuk makluman semua, kos cukai jalan dan insuran kereta untuk BMW 7 Series adalah RM 26,000.00 setahun.

Tapi yang menjadi masalahnya, kebajikan pekerja dia mula untuk kurangkan. Sebagai contoh, gaji kemungkinan besar kenaikan sangat sedikit atau langsung takde, dan bonus yang biasa kami nikmati akan dikurangkan. Mungkin anda akan menyangka saya tidak bersyukur dengan apa yang saya dah dapat sekarang ni. Baiklah, tapi kalau tahap berjimat cermat sampai tisu tandas pun terpaksa dicatu kegunaannya macam mana? atau pun pen yang anda gunakan dihadkan bilanganya. Dulu dapat minum air milo, sekarang ni air gula sahaja. Kemudahan perubatan dikurangkan jumlahnya. Kelayakan cuti akan dikurangkan. Kos sara hidup di Kuala Lumpur semakin mahal. Kadar inflasi semakin meninggi. Gaji macam ciput sahaja. Orang lain dia potong budget kat sana sini. Tapi dia sendiri berbelanja tak ingat diri. Cuba anda bayangkan kos untuk cukai kereta dan insuran dia sahaja boleh beli berapa ribu gulung tisu, pen dan milo?

Yang saya sedih sangat bukan apa bila melihat kawan-kawan saya dari kalangan 'driver' ataupun 'dispatch boy', diorang pun ada famili jugak. Bila dapat bonus sedikit, sekurang-kurangnya boleh beli baju untuk anak isteri sehelai dua. Ada kenaikan gaji sedikit, sekurang-kurangnya boleh bawa anak isteri sekali sekala menjamu diluar.

Sekarang ni tangan saya dah begitu gian untuk menaip resume, patutkah saya menunggu disini atau patutkah saya mula bertanya;

"Ada sesiapa yang ada kerja kosong di luar sana?"

Kesimpulannya, ada perkara yang patut kita berjimat cermat, tapi kalau sampai kebajikan pekerja pun tak terbela sehinggakan pekerja pun siap merungut dan siap kutuk-kutuk kat belakang lagi susahlah. Tidur malam pun tak lena dan tak tenang. Bila pekerja dah mula mengutuk, mana nak datang lagi keikhlasan. Bila dah tak ikhlas, macamana nak berkat kan?