Prolog : Tempur Tanpa Air Mata

Nota: Entri ini sangat enak dibaca dengan iringan lagu ini, Ku Impikan Bintang.

...Belailah daku dalam dakapan mu
Semaikan ku dalam mimpi-mimpi mu
Bila berdua, indah segala
Se-akan kita di syurga
Ku berdoa agar cinta kita
Seperti bintang yang menyinar...

Kedengaran irama mendayu yang keluar dari corong sebuah radio. Perlahan dan begitu menenangkan. Manakala di siling kipas berpusing ligat. Bepusing-pusing seolah-olah tidak ada batu penghalang yang dapat memberhentikannya. Dingin hawa terasa, kaki sedikit kesejukan. Wangian lavender begitu mengasyikkan. Mengharumkan seisi ruang sempit yang dipenuhi dengan impian kanak-kanak seorang lelaki yang kian meningkat dewasa. Disuatu sudut terdapat sebuah meja kecil yang diatasnya terletak sebuah mini komputer. Disuatu sudut yang lain pula terdapat rak-rak buku. Buku-bukunya tidak tersusun, berselerakan. Lampu diatas meja komputer menyala dengan nyalaan yang begitu berbalam-balam.

Dengusan turun naik nafas kedengaran perlahan. Dimalam yang serba sunyi, segala yang berbunyi perlahan kadang-kadang menjadi sangat kuat sehingga menimbulkan sedikit getar. Deru angin malam melanggar corong laluan air di bumbung rumah menghasilkan irama malam tanpa lunakkan suara.

Pelupuk mata terasa semakin berat. Lama-kelamaan ia tenggelam dalam sebuah kehidupan asing di dunia yang serba aneh. Dunia yang penuh dengan fantasi-fantasi indah. Dunia hasrat. Dunia yang menukarkan segala keinginan menjadi kenyataan.

Kesan-kesan calar yang terdapat ditangan. Luka-luka kecil yang semakin mengecut. Semuanya telah dilupakan. Seperti seolah-olah tidak berlaku apa-apa pada dirinya. Ingatannya tenggelam. Dia hampir-hampir tidak ingat atas apa yang terjadi siang tadi. Kepenatan meratah seluruh urat nadinya. Dia lumpuh dalam keinginannya sendiri.

"Move-move, secure right bungker," jerit kapten.

Peluru meluncur deras diatas kepala.

"Enemy down! Move forward," arah kapten kepada anak-anak buahnya.

Pada ketika itu kelihatan seorang tentera musuh tumbang. Anak-anak buahnya mara ke hadapan.

Perjuangan. Perlawanan. Penentangan.

Selagi tidak turun ke medan tempur. Jangan bercerita soal perjuangan. Perjuangan ini merelakan tumpahnya darah anak bangsa.

Tapi medan ini tidak akan pernah sama dengan apa yang pernah dilalui oleh pejuang-pejuang bangsa yang terdahulu. Mereka bangkit dari ketakutan. Mereka berjuang mempertahankan maruah diri, maruah keluarga dan maruah bangsa. Tapi kita?

Persoalan demi persoalan bermain dibenaknya. Peristiwa yang terjadi siang tadi mula berputar di dalam ingatannya. Kipas terus berpusing ligat. Berpusing dan terus berpusing. Mengingatkannya pada roda kehidupan yang juga berpusing-pusing. Bau haruman lavender terus mengharum. Wangian itu terus mengisi setiap ruang bilik tersebut, menghilangkan bau darah yang masih melekat ditubuhnya yang keletihan itu.

Malam semakin pekat. Kesunyian seperti hantu yang membunuh jiwa insan. Keletihan telah mengikat jasad. Kelopak matanya terpejam perlahan. Masa terus berlalu.

Entri Seterusnya : Bahagian 1

Tagged lagi...

Maafkan saya sebab membiarkan blog ni sedikit bersawang. Saya sebenarnya sedang bermalas-malasan sebab pada ketika ini di dalam kepala saya ada banyak perkara yang begitu merungsingkan. Buat masa ni, saya memang tidak sempat melawat blog kawan-kawan semua.

Terima kasih pada mamabear yang mentagged saya. Pada yang nak tengok sangat macam mana rupa dekstop saya sila lihat imej dibawah.


Display Type: LCD 19 inches Wide
Platform: MAC OS X ver 10.4.9

Seterusnya, saya pilih:
Nantikan entri saya yang seterusnya, T E M P U R T A N P A A I R M A T A

Surat Terbuka Untuk Kawan

Kepada Kawan,


Ketika awak bertanya tentang hati dan material, sebenarnya saya teringat satu pesanan Allah di dalam Al-Quran

Yang bermaksud,
[Al-Anfaal:63] Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Awak, izinkan saya berkongsi sedikit pandangan disini. Ternyata dalam mencari solusi kepada segala permasalahan pokok. Tidak kira betapa kecil atau besarnya permasalahan tersebut ternyata kita harus kembali semula kepada ketentuan iradat Allah swt. Ujian yang begitu berat sepatutnya mendekatkan lagi diri kita kepada Nya bahkan sepatutnya menguatkan lagi keyakinan dan kesabaran kita.

Awak, dalam mencari solusi kepada masalah hubungan. Sama ada hubungan sesama manusia, hubungan kepada makhluk ataupun hubungan kepada Allah sendiri. Ternyata kita tidak boleh lari dari persoalan hati. Kalau berdasarkan ayat di atas, ternyata harta benda yang sememangnya berbentuk material tidak mampu mengikat hati manusia. Yang hanya boleh mengikat hati-hati tersebut hanyalah Allah sahaja. Tapi awak jangan lupa, yang dikatakan material disini bukan sahaja terhad kepada harta, bahkan sesuatu yang bersifat realiti juga boleh dikatakan sebagai material. Contoh seperti kecantikan, kekuasaan dan sebagainya.

Awak, kisah hidup kita masing-masing sangat unik. Kerana itu masalah yang dihadapi oleh kita masing-masing adalah sangat berbeza walaupun secara dasarnya ia nampak sama. Tapi itu bukan bererti Allah itu tidak adil. Itulah tanda kebesaran Allah. Dan ujian yang diberikan Allah adalah bertujuan untuk mensucikan hati kita dan mengampuni dosa-dosa kita yang telah lalu. Adilkan. Tuhan uji kita kemudian jika kita sabar dan tabah dalam menempuh ujian tersebut ternyata Allah akan membalasnya dengan sebaik-baik pembalasan.

Awak, sebelum saya mengakhiri entri ini. Ingin sekali saya menceritakan satu kisah kepada awak. Semoga kita semua boleh belajar sesuatu daripada kisah ini.

Kisah berkisar tentang seorang pemuda yang menghadapi permasalahan hidup yang sangat besar. Sehingga hampir-hampir hilang panduan hidup. Satu hari dia menziarahi kakaknya yang tinggal di kawasan pendalaman. Dia mengadu perihal nasib yang dialaminya ketika berada di rantau orang. Segala permasalahan diluahkan kepada kakaknya yang sangat menyanyangi adiknya itu. Setelah selesai si adik meluahkan perasaannya kepada kakaknya tadi, si kakak bangun dan terus ke dapur. Si kakak kembali dari dapur dengan membawa segelas air dan beberapa genggam garam. Lantas si kakak mengajak si adik keluar ke halaman rumah.

Di halaman rumah terbentang sebuah kolam kecil yang terbentuk daripada anak-anak sungai yang mengairi kawasan pendalaman itu. Airnya sangat tenang, jernih dan bebas dari sebarang bentuk pencemaran. Kelihatan juga anak-anak ikan berenang-renang bebas di dasar kolam tersebut.

Lantas si kakak berkata, “Adik! segelas air ini ku campurkan dengan segenggam garam. Nah ambil ini dan cuba kau minum. Bagaimana?”

Jawab si adik, “Kakak, air ini terasa sangat masin sekali.”

Si kakak menjawab, “Adikku! sekarang kau cuba ini pula,” lantas si kakak mencampakkan semua baki garam yang berada di tangan ke dalam kolam yang terbentang di hadapan matanya.

Si kakak, “Adik! cuba kau ambil air kolam ini dan cuba rasa. ”

Si adik pun mengambil air dari kolam tersebut dan meminumnya. Apa yang dirasakan adalah tawar semata-mata.

Lantas si kakak berkata, “Adikku! itulah perumpamaan dalam hidup kita. Gelas dan kolam adalah perumpamaan bagi jiwa kita, manakala garam adalah perumpaan bagi masalah yang dihadapi. Cuba adik bayangkan, jiwa yang kerdil adalah ibarat gelas kecil tadi, sedikit garam pun yang kita letak akan terasa masinnya. Begituah jiwa kita, bagi jiwa yang kerdil akan terasa berat walaupun masalah yang dihadapi adalah masalah kecil. Tapi bagi jiwa yang besar perumpamaannya adalah seperti kolam tadi. Sebanyak mana pun garam yang ditaburkan, airnya tetap tawar. Sebesar mana pun masalahnya, jiwanya tetap tabah dan tenang menerimanya.”

Si kakak meneruskan bicaranya, “Adikku, dari itu hendaklah engkau memperbesarkan jiwamu, dengan cara apa kau harus memperbesarkan jiwamu?” kakak bertanya.

Lantas si kakak menjawab balik pertanyaan yang dikemukannya tadi, “Perbanyakkan solat dan mengingati Allah, berishtifar, bersyukur sebanyak-banyaknya, bersilaturahim, memaafkan kesilapan orang, bersedekah dan membuat kebajikan yang banyak. Insya Allah hati kau akan lapang, bahkah selapang-lapangnya”.

Salam,
Penyair Tarbus Merah

Ratu Ayu Lawan Bidadari 2

Waktu & Perjuangan
Roda waktu berputar pantas, tanpa meninggalkan sedikit kesempatan pun untuk kita berbuat sebanyak mungkin perkara-perkara yang paling kita sukai. Seolah-olah bersaing dengan waktu adalah cabaran yang paling getir bagi kita. Tersalah langkah, alamatnya kita terpaksa mengulang semula apa yang telah kita mulakan. Ataupun jika kita berputus asa bererti kita telah tewas sebelum kita turun ke medan juang.

Memilih & Jalan Tengah
Antara terlalu berani dan takut dalam memilih jalan kehidupan. Takut jika apa yang kita pilih tidak bersesuaian dengan kehendak kita. Terlalu berani pula menyebabkan kita hilang kewarasan. Mungkin jalan tengah adalah yang terbaik.

Ruang-Ruang & Kosong
Meneruskan kehidupan dengan hati yang kosong pula seumpama sebuah kapal yang tidak berlayar. Hanyut dibawa arus. Mungkin sudah tiba masanya bagi kita yang sedang kekosongan mengisi ruang-ruang yang ada dengan apa yang memang telah diciptakan oleh Allah untuk kita.

Utara & Selatan
Lumrah kehidupan adalah saling tarik-menarik dan tolak-menolak. Seperti medan magnet utara dan medan magnet selatan. Apabila dua kutub yang sama didekatkan ia akan saling tarik menarik dan begitu jugalah sebaliknya.

Kebaikan & Kejahatan
Jika diberi pilihan antara Ratu Ayu dan Bidadari 2. Saya akan lebih senang dengan bidadari 2. Mungkin kerana memang lumrahnya manusia saling menarik kebaikan dan menolak kejahatan. Jadi tidak salah jika saya katakan bahawa hati kita itu sebenarnya adalah sebuah magnet berdaging. Jika hati baik, ia akan menarik kebaikan masuk kedalamnya. Dan dalam masa yang sama akan menolak sebarang bentuk kejahatan. Begitu jugalah sebaliknya.

Cinta & Benci
Ungkapan rasa hati dalam bentuk yang boleh dimelodikan. Kenapa perlu ada benci, kerana rasa benci menyatakan rasa kecintaan. Dan kenapa pula ada rasa cinta, kerana untuk menyatakan bahawa manusia boleh memilih sama ada untuk terus merasa cinta atau meletakkan rasa benci didalam dadanya.

Penat sungguh saya berfalsafah. Tapi hati tetap hati. Kalau ia sedih, rasa itu akan diluahkan dalam bentuk air mata. Mungkin inilah deklarasi hati saya, ungkapan tanpa nada dan melodi indah.

Lelah,
Menari-nari,
Dipentas bangsawan jalur pelangi,
Mencari rentak irama terindah,
Di pasuan pilihan,

Kosong,
Bingar hentak yang sunyi,
Lantai yang berkriot,
Bergegar dalam bertaut,

Argh!!! Persetan, aku masih punyai kaki dan tangan lagi,
Aku juga masih ada hati,
Aku masih hidup lagi,
Sapa kata aku dah mati.

Salam

Jibunsyi

Episod Curi Ayam

"Shh!!! senyap sikit," bisik Zali perlahan-lahan sambil dia menunjukkan isyarat jari telunjuk kiri dimulutnya sambil tangan kanan memicit hidungnya rapat.

"Cepatlah sikit. Aku dah tahan bau tahi ayam ni," sambung Zali lagi kepada Abu dan Ajak. Sedang mereka terus-terusan mengendap-ngendap dibelakang reban ayam milik Pak Akob.

"Abu! kau pergi bersembunyi dibalik pokok ketapang tu. Kalau ada orang yang datang kau bagitahu pada kami." Zali memberi arahan kepada Abu. Lagak seperti seorang jeneral tentera memberi arahan kepada anak buahnya.

"Ajak! kau pula pergi umpan ayam jantan balung besar tu. Kau tahu macam mana nak buatkan?" tanya Zali kepada Ajak. Sambil Zali menunjuk ke arah seekor ayam jantan yang sedang bertenggek di hujung bumbung reban.

"Baik bos, kacang putih aje ni," balas Ajak yang memang terkenal dalam hal-hal membuat umpan dan perangkap binatang ni. Ajak bangkit dan berjalan perlahan-lahan menuju ke arah ayam yang sedang bertenggek itu.

"Krurrrr!"

"Krurrrr!"

Ajak mengeluarkan bunyi halus untuk menarik perhatian si ayam jantan. Apabila si ayam menyedari kedatangan si Ajak, Ajak mengeluarkan senggengam beras yang memang telah disediakan sejak dari rumah lagi. Ajak menaburkan beras tersebut. Melihat itu, si ayam jantan terus melompat dari tempat tenggekkannya itu ke tempat taburan beras itu tadi. Dengan lahapnya si ayam mematuh-matuk beras yang bertaburan itu.

Dan dari arah belakang ayam tersebut, Zali perlahan-lahan cuba menghampiri kedudukan ayam tersebut dengan sehelai guni kain yang dibawanya.

Dengan tiba-tiba, "Zasss!" Zali menekup ayam jantan yang sedang leka mematuk itu. Belum sempat si ayam itu untuk mengeluarkan bunyi Zali telah terlebih dahulu mencengkam erat leher ayam tersebut dan lantas memasukkannya ke dalam guni yang ada padanya.

"Ha! ha! ha!" gelak mereka bertiga setelah berjaya mencuri ayam tersebut. Sekarang mereka dalam perjalanan menuju ke hujung kampung untuk berlaga.

Tamat

Pada hari sabtu yang lepas, saya telah menghadiri bengkel penulisan Jibunsyi dibawah tajaan MyJica (Japan International Corp Agency). Kelas ini diajar oleh Pn. Ainon Mohd. Episod diatas adalah antara hasil kerja saya semasa bengkel tersebut. Terima kasih saya ucapkan kepada Pn. Ainon di atas tunjuk ajar yang telah diberikan. Sekarang saya rasa sangat bersemangat untuk menulis Jibunsyi. Oh yer, kepada mereka yang tidak tahu apa itu Jibunsyi, secara ringkasnya Jibunsyi adalah berasal dari perkataan Jepun dan ia bermaksud novel kisah benar. Semasa bengkel tersebut saya sempat bertemu dengan Sasterawan Negara, Dato A. Samad Said. Dan anak beliau yang menguruskan Wira Bukit Publication telah menghadiahkan kepada kami tiga buah buku setiap seorang karya SN yang bertajuk Cinta Fansuri, Dari Salina ke Langit Petang dan Rindu Ibu (101 Puisi Kanak-kanak menjelang remaja).

Wah! seronoknya saya.

Mukhsin


Kamu patut menontonnya.

Saya memberi double thumb up kepada Yasmin Ahmad.

Telaga

Kecebur!!!

Bunyi air menghempas ke lantai yang sedikit berlumut itu.

Bayangkan bagaimana keadaannya mandi dalam keadaan anda dilihat orang. Rasa seperti tidak memakai apa-apa walaupun kamu sebenarnya memakai kain basahan.

Sejuk dingin air telaga meresap jauh kedalam kulit.

Bilik air yang berpintu hanya sekadarnya. Bumbung yang terbuka luas. Dinding yang berongga.

Arghh! betapa beruntungnya kita yang memiliki bilik air yang serba lengkap dirumah.


Jangan sangka yang bukan-bukan pada bahagian yang dikaburkan itu.

P/S: Saya masih berada di dalam kesibukan yang amat sangat. Saya memohon maaf diatas kesulitan yang dialami. Nanti-nanti saya ziarah blog kamu yer.

Bahagia

Perkahwinan diantara Mohd Faizal - Umai Munah yang diadakan di Kuala Berang, Terengganu.

Pada 2 Mac yang lalu, saya sekeluarga ke Terengganu untuk meraikan perkahwinan abang saya. Segala-galanya berjalan baik dan lancar. Kami sekeluarga mendoakan kebahagian yang berpanjangan keatas kedua mempelai ini. Gambar oleh Lobai.