Untuk Reena

...Reena, Hamadi, Yud, Topan...

Entah kenapa cerita ni buat saya cukup merasa sebak. Saya teringat pada suatu dialog,

"Hendaklah kamu percaya pada kuasa kasih sayang, kerana ia bisa menembusi batu yang paling keras sekali."

Entah bila karyawan Malaysia boleh buat kisah sebegini...

Petang itu...

Saya menumpangi seorang teman sepejabat dalam perjalanan menuju ke Central Market petang Jumaat yang lepas. Seperti biasa kesesakan jalan raya menyebabkan perjalanan yang dekat jaraknya terasa begitu jauh sekali. Sepanjang perjalanan saya dan teman sibuk bercerita tentang situasi semasa senario politik di syarikat kami. Pelbagai luahan yang begitu membahang hati dan perasaan seperti hawa panas yang terbit dari sebuah ketuhar gelombang mikro. Kalau disentuh tangan melecur, walaupun tak sentuh masih terasa sedikit sebanyak bahang panasnya.

Tiba-tiba perhatian saya tertumpu pada kelibat seseorang yang sangat saya kenali. Dia baru sahaja turun dari sebuah bas sambil menjinjit sesuatu ditangan kanannya.

Kalau tadinya kami agak sibuk bercerita tentang nasib yang tidak begitu berpihak kepada kami. Kehadiran dia yang sangat saya kenali itu menyebabkan isu tersebut tenggelam secara tiba-tiba.

"Lihat! itulah ibu yang bekerja sebagai tukang cuci di pejabat kita", sambil teman saya menunjunkkan jari telunjuknya ke arah ibu tersebut.

Tiba-tiba perasaan menjadi begitu sayu sekali.

Betapa bila terkenangkan seorang ibu yang berkerja mencuci tandas dan lantai di pejabat kami. Sangat tabah. Tidak pernah mengeluh dengan takdir yang dihadapinya. Kesusahan menyebabkan bibirnya tak lekang dari seulas senyuman. Seperti menyembunyikan keperitan hidup yang dialaminya selama ini.

Saya teringat setiap pagi saya akan masuk ketandas ketika ibu tersebut sedang sibuk mencuci tandas lelaki di tempat saya. Kesempatan itu saya ambil untuk bertanya khabar tentang dirinya dan juga keluarganya. Dari apa yang di ceritanya, saya cuba untuk mengenali kehidupan peribadi ibu ini dengan lebih mendalam. Dan kesimpulan yang boleh saya buat ialah ibu ini cukup tegar mengharungi hidupnya.

Ternyata jika dibanding-bandingkan, kadang-kadang kita tidak begitu menyedari bahawa takdir hidup kita adalah jauh lebih baik dari orang lain. Kita terlalu banyak mengeluh dan kurang sekali bersyukur. Mungkin ini waktunya untuk kita berubah. Berubah menjadi manusia yang lebih mengerti penderitaan orang lain, tahu bersyukur, redha dengan takdir yang berlaku kerana ini semua akan menjadikan jiwa kita seteguh jiwa seorang ibu yang takdirnya telah ditentukan Allah untuk berkerja hanya sebagai seorang tukang cuci tandas yang mungkin tidak pernah dipandang mulia oleh orang lain.

sesak oh sesak

Sesak bersama haru biru kehidupan
Mencari sejalur cahaya buat penongkat diri

Terkesima dalam kesedaran waktu
Kenangan lama tergarit semula

Bersama perca teka-teki
Yang tidak pernah ada penghujungnya..

Rindu yang terpinggir

Seperti semalam yang telah berlalu.Hari ini langit mendung minggir bersama cerah yang sudah tidak begitu cerah lagi. Sepasang kaki melangkah bersama satu rasa dan perasaan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Cebisan kenangan seperti merungkai-rungkai tangkai hati. Supaya ia tidak luput dan kekal bersama rasa rindu yang semakin pudar.