Surat Terbuka Untuk Kawan

Kepada Kawan,


Ketika awak bertanya tentang hati dan material, sebenarnya saya teringat satu pesanan Allah di dalam Al-Quran

Yang bermaksud,
[Al-Anfaal:63] Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Awak, izinkan saya berkongsi sedikit pandangan disini. Ternyata dalam mencari solusi kepada segala permasalahan pokok. Tidak kira betapa kecil atau besarnya permasalahan tersebut ternyata kita harus kembali semula kepada ketentuan iradat Allah swt. Ujian yang begitu berat sepatutnya mendekatkan lagi diri kita kepada Nya bahkan sepatutnya menguatkan lagi keyakinan dan kesabaran kita.

Awak, dalam mencari solusi kepada masalah hubungan. Sama ada hubungan sesama manusia, hubungan kepada makhluk ataupun hubungan kepada Allah sendiri. Ternyata kita tidak boleh lari dari persoalan hati. Kalau berdasarkan ayat di atas, ternyata harta benda yang sememangnya berbentuk material tidak mampu mengikat hati manusia. Yang hanya boleh mengikat hati-hati tersebut hanyalah Allah sahaja. Tapi awak jangan lupa, yang dikatakan material disini bukan sahaja terhad kepada harta, bahkan sesuatu yang bersifat realiti juga boleh dikatakan sebagai material. Contoh seperti kecantikan, kekuasaan dan sebagainya.

Awak, kisah hidup kita masing-masing sangat unik. Kerana itu masalah yang dihadapi oleh kita masing-masing adalah sangat berbeza walaupun secara dasarnya ia nampak sama. Tapi itu bukan bererti Allah itu tidak adil. Itulah tanda kebesaran Allah. Dan ujian yang diberikan Allah adalah bertujuan untuk mensucikan hati kita dan mengampuni dosa-dosa kita yang telah lalu. Adilkan. Tuhan uji kita kemudian jika kita sabar dan tabah dalam menempuh ujian tersebut ternyata Allah akan membalasnya dengan sebaik-baik pembalasan.

Awak, sebelum saya mengakhiri entri ini. Ingin sekali saya menceritakan satu kisah kepada awak. Semoga kita semua boleh belajar sesuatu daripada kisah ini.

Kisah berkisar tentang seorang pemuda yang menghadapi permasalahan hidup yang sangat besar. Sehingga hampir-hampir hilang panduan hidup. Satu hari dia menziarahi kakaknya yang tinggal di kawasan pendalaman. Dia mengadu perihal nasib yang dialaminya ketika berada di rantau orang. Segala permasalahan diluahkan kepada kakaknya yang sangat menyanyangi adiknya itu. Setelah selesai si adik meluahkan perasaannya kepada kakaknya tadi, si kakak bangun dan terus ke dapur. Si kakak kembali dari dapur dengan membawa segelas air dan beberapa genggam garam. Lantas si kakak mengajak si adik keluar ke halaman rumah.

Di halaman rumah terbentang sebuah kolam kecil yang terbentuk daripada anak-anak sungai yang mengairi kawasan pendalaman itu. Airnya sangat tenang, jernih dan bebas dari sebarang bentuk pencemaran. Kelihatan juga anak-anak ikan berenang-renang bebas di dasar kolam tersebut.

Lantas si kakak berkata, “Adik! segelas air ini ku campurkan dengan segenggam garam. Nah ambil ini dan cuba kau minum. Bagaimana?”

Jawab si adik, “Kakak, air ini terasa sangat masin sekali.”

Si kakak menjawab, “Adikku! sekarang kau cuba ini pula,” lantas si kakak mencampakkan semua baki garam yang berada di tangan ke dalam kolam yang terbentang di hadapan matanya.

Si kakak, “Adik! cuba kau ambil air kolam ini dan cuba rasa. ”

Si adik pun mengambil air dari kolam tersebut dan meminumnya. Apa yang dirasakan adalah tawar semata-mata.

Lantas si kakak berkata, “Adikku! itulah perumpamaan dalam hidup kita. Gelas dan kolam adalah perumpamaan bagi jiwa kita, manakala garam adalah perumpaan bagi masalah yang dihadapi. Cuba adik bayangkan, jiwa yang kerdil adalah ibarat gelas kecil tadi, sedikit garam pun yang kita letak akan terasa masinnya. Begituah jiwa kita, bagi jiwa yang kerdil akan terasa berat walaupun masalah yang dihadapi adalah masalah kecil. Tapi bagi jiwa yang besar perumpamaannya adalah seperti kolam tadi. Sebanyak mana pun garam yang ditaburkan, airnya tetap tawar. Sebesar mana pun masalahnya, jiwanya tetap tabah dan tenang menerimanya.”

Si kakak meneruskan bicaranya, “Adikku, dari itu hendaklah engkau memperbesarkan jiwamu, dengan cara apa kau harus memperbesarkan jiwamu?” kakak bertanya.

Lantas si kakak menjawab balik pertanyaan yang dikemukannya tadi, “Perbanyakkan solat dan mengingati Allah, berishtifar, bersyukur sebanyak-banyaknya, bersilaturahim, memaafkan kesilapan orang, bersedekah dan membuat kebajikan yang banyak. Insya Allah hati kau akan lapang, bahkah selapang-lapangnya”.

Salam,
Penyair Tarbus Merah