Petang di Kuala Lumpur

Tadi petang saya duduk melepak bersama-sama Bob dan Rina. Bob dan Rina adalah pasangan dua sejoli yang akan menikah tidak lama lagi. Memang kami selalu duduk melepak bersama, kadang-kadang kami duduk melepak di Oldtown Kopitiam di CM atau di Maju Curry House berhampiran Jalan Melaka. Tapi tadi kami ber'huu haa' di Maju Curry House. Saya memesan secawan horlick panas dan mereka pula memesan dua cawan teh o limau besar panas untuk mereka sendiri.

Ketika saya sedang sibuk bercerita dengan Bob, tiba-tiba Rina memintas perbualan kami. Oleh kerana sifat budiman (gentleman) kami yang sangat tinggi, maka kami berdua memberi laluan kepada Rina untuk menceritakan pengalamannya ketika tersangkut akibat kesesakan lalu lintas berhampiran dengan stesyen PUTRA LRT Masjid Jamek.

Rina menceritakan bagaimana pada suatu petang dia melihat sebuah keluarga yang terdiri daripada 3 anak beranak. Si ayah yang sudah uzur duduk diatas sebuah kerusi roda sambil ditolak oleh isterinya yang juga kelihatan uzur dan seorang anak muda yang merupakan anak kepada pasangan tersebut. Anak muda itu kelihatan berpakaian ranggi ala-ala seperti seorang mat rempit dan berumur dalam lingkungan 13 - 15 tahun.

Rina menceritakan bagaimana anak muda itu memaki-maki ayahnya yang sudah uzur itu sambil dia menunjal-nunjal kepala ayahnya. Kelihatan si ayah seperti melindungi kepalanya dengan tangannya. Dan si ibu pula memeluk si ayah sambil menangis menagih simpati dari anaknya tadi. Kejadian ini berlaku dikhalayak ramai. Saya tidak sanggup menyatakan apa yang terjadi seterusnya. Amat memilukan sekali.

Apa yang cuba saya sampaikan disini, lihat betapa anak-anak kita pada hari ini sudah hilang perasaan sayangnya terhadap ibu bapa masing-masing. Anak yang dulunya dimanja-manja kini menunjal-nunjal kepala bapanya sendiri. Anak yang dulunya dipuji-puji kini mengembalikan puji-pujian itu dalam bentuk maki-makian dikhalayak ramai.

Pesan saya pada setiap jiwa yang bergelar anak.

Lupakah kamu,
Pada senandung yang pernah bonda lagukan dahulu,
Supaya anak bila besar menjadi insan yang bertakwa,
Pada pelukannya yang menghangatkan kedinginan malam,
Yang menghilangkan segala resah dan kedukaanmu,

Lupakah kamu,
Pada jerih payah bapa yang membanting tulang,
Mencari rezeki halal untuk membesarkan mu,
Pada kucupannya yang sering tidak kelihatan,
Tetapi berbunga nun dilurah yang paling dalam,

Lupakah kamu,
Pada syurga yang terletak di tapak kaki bonda,
Pada redha yang terletak dalam doa bapa,
Apakah dunia dan segala isinya dapat menyelamatkan kamu dari neraka Allah,
Apakah teman-teman yang kamu banggakan itu dapat membela mu dari kenyataan yang digeruni,

Lupakah kamu wahai anak,
Tentang kasih bonda yang mengalir sepanjang zaman,
Tentang cinta ayah yang menuntun ke syurga-Nya,
Sejuk dan lembut bak butiran kapas yang berguguran.
Hening dan bening bak airmata suci dari tanah hampa


P/S: Seusai mendengar kisah Rina, ternyata ada genangan yang masih belum kering.