Apa-apalah...

"Awak! I love you," teruna.

"Awak! sebenarnya saya tidak pernah melafazkan kata keramat cinta pada seorang lelaki. I love you too," gadis menjawab.

Ungkapan di atas biasa di dengari di dalam lafaz skrip cerita-cerita cinta yang sering di ulang tayang di kaca TV. Apakah realiti kepada ungkapan cinta ini?

Kadang-kadang bila saya merenung kembali jalan kehidupan saya yang sudah-sudah, sedikit sebanyak terasa agak tersentuh hati ini. Tersentuh bilamana memikirkan, bilakah akan datang seorang bidadari yang akan mengucapkan dialog keramat tersebut kepada saya. Yang juga bererti sudah sampai masanya saya menamatkan zaman bujang yang serba sunyi ini. Sunyi kerana sepanjang malam saya akan menaip entri blog tanpa ditemani oleh sesiapa. Sunyi kerana tiada sesiapa yang boleh menemani saya membancuh secawan kopi panas untuk menghangatkan kedinginan malam.

Mungkin ini realitinya. Bercerita tentang realiti sebenarnya kita mempunyai dua pilihan. Pertama untuk mempercayai bahawa apa yang dipaparkan di kaca TV tidaklah seindah yang berlaku di dalam kehidupan harian kita. Kedua, percaya dengan segala yang dimomokkan oleh siaran-siaran tersebut dan berharap agar berlaku suatu keajaiban dimana apa yang kita rasakan seronok itu akan terjadi di dalam kehidupan kita sendiri. Mungkin kah? Sekali lagi pilihan di tangan kita.

Bercerita tentang cinta amat memenatkan, sebab terlalu banyak pandangan. Pandangan dari pelbagai perspektif. Ada yang objektif dan ada juga yang subjektif dan kebanyakkannya disandarkan dari pengalaman hidup masing-masing. Jadi apa piawai kepada maksud cinta itu sendiri? Maksud piawai disini apakah 'standard' ataupun makna cinta yang dapat diterima pakai oleh seluruh alam ini. Dalam erti kata lain, apakah asas dalam mendefinasi semula makna cinta dalam pengertian mutlak.

Mungkin ini terlalu berat untuk semua.

Arggh!!! mungkin kita kena lakukan sesuatu yang lebih mudah seperti lepak-lepak sambil menonton cerita cinta. Ini bukan kerja kita tapi ini kerja pakar bahasa.


Nanti dulu, topik cinta masih belum habis. Ada sedikit lagi yang perlu diperkatakan. Masih ingatkah kamu terhadap kes-kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa sekarang ini. Apakah puncanya. Puncanya, si gadis amat mencintai si lelaki sehingga sanggup menyerahkan kehormatan mereka kepadanya. Dan akhirnya wanita-wanita ini mengandung.

Eh nanti dulu. Ada satu lagi. Kes penceraian yang begitu berleluasa sekarang ini. Kenapa berlaku penceraian. Alasan sebab sudah tidak ada persefahaman. Kenapa tidak ada persefahaman, sebab sudah tidak ada cinta.

Ini sahaja kah? oh tidak, ada banyak lagi, keruntuhan institusi kekeluargaan contohnya. Apakah puncanya? Sebab si suami atau si isteri yang terlalu sibuk dan cintakan kerja mereka berbanding dengan menjaga dan memelihara kerukunan rumah tangga mereka sendiri.

Inikah makna cinta pada dunia ini?

Sedangkan secara logiknya cinta tidak akan mendatangkan kemudaratan kerana ia adalah belai halus yang hanya dapat dirasakan didalam jiwa dan perasaan kita sendiri. Ia suci dan ia juga murni. Cinta tak mungkin hilang kerana ia bukanlah sesuatu yang material yang boleh dicuri-curi. Ia adalah perasaan, ia ada di dalam hati kita.

Ternyata kita masih mencari-cari definasi hakiki kepada ungkapan cinta ini. Memandang dunia dari sudut spektrum cinta sejati amat berbeza jika dibandingkan melihat dunia ini dengan pandangan hawa nafsu semata-mata. Seperti orang bercinta yang tidak pernah merasa bosan apabila memandang wajah kekasihnya. Mungkin begitulah perasaannya apabila melihat kehidupan ini dengan pandangan cinta sejati. Alangkah bahagianya dunia ini, wujud persefahaman, tidak ada buruk sangka dan hasad dengki, tidak ada peperangan yang ada hanyalah sebuah tafsiran kepada sebuah ungkapan cinta iaitu BAHAGIA.

Ermm...mungkin cinta ini bukan lagi khusus untuk seseorang.

Eh! saya mahu menyambung menonton semula cerita cinta kegemaran saya. Jumpa lagi.