Makhluk belalang yang bergaya dan seluar GQ

Tahu apa impian saya pada waktu kecil? Saya sering berangan untuk menjadi seorang anggota polis. Ada dua sebab kenapa saya begitu berminat untuk menyertai pasukan beruniform ini. Sebab pertama mungkin kerana saya tertarik pada kuasa pistol yang dimiliki oleh anggota polis. Sebab kedua yang menyebabkan saya teruja sangat untuk menjadi polis mungkin sebab saya terlalu obses dengan wira animasi jepun seperti Polis Angkasa Gaban, Ultraman Taro dan juga Kesatria Baja Hitam. Setiap kali siri animasi ini ditayangkan, saya tidak pernah terlepas untuk menontonnya. Menonton bersama rakan-rakan sebaya memang amat menyeronokkan, kerana mungkin faktor usia yang sama menyebabkan kita dapat berimiginasi dengan kreatifnya. Lagipun pada waktu seusia itu kita tidak pernah terfikir akan masalah lain. Dunia kanak-kanak memang indah.

Antara ketiga-tiga animasi, Polis Angkasa Gaban, Ultraman Taro dan Kesatria Baja Hitam (KBH). Saya lebih berminat dengan KBH. Ini kerana antara gaya-gaya ketika mereka bertukar kepada makluk yang berkuasa saya rasakan gaya KBH adalah antara gaya-gaya yang boleh dibanggakan. Paling tak dapat dilupakan, ketika bergaduh dengan adik beradik pun saya akan mempraktikan gaya KBH terlebih dahulu sebelum saya melompat terjun ala-ala "Smack-Down". Saya dapat rasakan yang saya adalah KBH yang sebenarnya. Sangat Bergaya sekali makluk belalang ini.

Tapi bila usia menginjak dewasa, keinginan saya untuk menjadi polis telah pudar sama sekali. Entahlah mungkin sebab saya membesar dalam zaman GQ. Sesiapa yang lahir dalam era 80an pasti biasa benar dengan istilah GQ ni. Zaman ni merupakan sebuah zaman realism yang memerlukan seseorang itu bergaya kacak dengan seluar slack, baju masuk dalam dan bertali pinggang. Oppps!!! kasut stylo tak boleh lupa. Kemudian rambut slope dalam, style macam rambut anak cina. Bila dah bergaya, biasalah. Bila pegi bandar, tujuan utama adalah untuk mengorat makwe. "Hei!! Ini bukan tepuk sebelah tangan tau. Ada respons wa cakap lu".

Kadang-kadang seronok jugak bila tengah boring-boring menunggu bas ni kita terkenang semula zaman muda-muda. Ermm....cepat betul masa berlalu yer.