Sepatu Tumit Tinggi, Songkok tinggi 5-inci dan RAPAT’06

Seusai Rapat’06 aku melihat tompok-tompok gelap didada langit, seolah memberi isyarat sang hujan nestapa akan menitiskan esak air matanya. Kelihatan geng GEJU semakin berkurangan di halaman dewan pertunjukkan pentas dunia. Mungkin mereka mahu cepat pulang atau mungkin mereka ada urusan lain yang mungkin tidak diketahui oleh apa dan sesiapa jua. Kaki melangkah pulang meninggalkan Café Al’amo, berjalan melintasi lopakan-lopakan air.

Bersama sepatu tumit tinggi, kami melangkah beriringan menuju ke stesen monorel yang terhampir, melengkapkan ikatan ukhwah yang mula teruntai. Pelbagai yang dibincangkan, berkaitan kehidupan, dunia blogger, cita-cita dan harapan. Angin bertiup sepoi, seolah-olah mengiringi kedatangan sang hujan nestapa. Ketika kami menghampiri UNIKL, hujan mulai turun membasahi bumi yang ketandusan ehsan insan. Kami melajukan langkah kaki, alhamdulilah kami sampai di stesen monorel medan tuanku.

Kuseluk poket untuk mengeluarkan kertas gumalan yang menjadi idaman manusia duniawi, ku tukarkan dgn sekeping pas perjalanan sehala menuju ke Stesen KL Sentral. Sekali lagi, pelbagai yang kami perbincangkan, tentang idea, tentang hidup, tentang manusia dan juga tentang hujan.

Sampai distesen monorel KL Sentral, hujan turun begitu lebat sekali tanpa meninggalkan ruang-ruang kering untuk manusia menyelusup masuk.

Bagaimana? Hujan, kata Si Songkok Tinggi 5-inci

Alang-alang basah, mari kita melintasi jalan itu, jawab Si Sepatu Tumit Tinggi

Dengan pantasnya mereka melintasi jalan tersebut untuk menuju kekawasan berhampiran bazar jualan sebelum masuk ke kawasan Stesen KL Sentral. Kami menentukan destinasi, “Stesyen Masjik Jamek!”,

Aku nak pegi cari Cendol Special kata Si Sepatu Tumit Tinggi.

Aku pulak nak mencari alas kepala untuk berlindung dari hujan, kata Si Songkok Tinggi 5-inci.

Kami menuju ke sebuah kedai di Wisma Yakin untuk mencari alas kepala berlindung dari hujan untuk kegunaan Si Songkok Tinggi 5-inci.

“Berapa harganya ni kak?”, tanya Si Songkok Tinggi 5-inci.

“Oh…yang ini harga dia RM 75.00 sahaja, kalau nak kurang pun RM 73.00”, jawab si penjual.

“Ermm…takpe lah kalau macam tuh, terima kasih yer kak”, balas Si Songkok Tinggi 5-inci.

Kami ke kedai yang kedua, Si Songkok Tinggi 5-inci berjaya mendapatkan satu alas kepala untuk berlindung dari hujan hanya dengan harga RM 30.00. Setelah ditawar penjual bersedia untuk menjual pada harga RM 28.00. Seterusnya kami mencari gerai menjual cendol, kebetulan hari itu memang ada pasar malam di kawasan tersebut. Kami singgah minum cendol dan makan laksa. Walaupun perut sudah kenyang, namun digagahi jua untuk menghabiskannya. Kami berbual, berbual dan terus berbual.

Seusai makan dan minum cendol, kami bergerak untuk pulang ke rumah masing-masing. Sampai di stesen masjid jamek, Si Sepatu Tumit Tinggi memohon untuk pamit ke rumah, kami berpisah disana.

“Berhati-hati, ramai mat ‘*pow’ disana”, pesan Si Sepatu Tumit Tinggi ikhlas.

“Baiklah, insya allah” balas Si Songkok Tinggi 5-inci.

Kami berpisah, aku meneruskan perjalanan untuk aku meneruskan kehidupan aku di dunia ini. Aku berasa lelah sekali, dan terlintas di benakku ini, betapa kalau semalam aku tidak mengenali Siapa Si Kasut Tumit Tinggi dan yang lain-lain, hari ini aku telah dipertemukan oleh yang Maha Kuasa dengan pemilik-pemilik yang hanya sekadar dikenali dengan untaian nama sahaja. Aku berharap agar ukhwah yang terbina akan terus berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Terima kasih dan rasa syukur yang tidak terhingga kepada DIA, kerana dengan izin-Nya dapat aku bernafas dan meneruskkan kehidupan aku sebagai seorang blogger.


*pow = bukan kueh pow atau pun power ranger, tetapi adalah golongan yang suka menyusahkan orang lain dengan jalan memeras ugut. Tak baek tau, daripada korang mem’pow orang lain, lebih baik korang meniaga kuh pow. Ada jugak untungnya…