Bila air naik ke kepala..

Hanya hari ini saya dapat masuk semula ke pejabat. Semalam EL atau dalam bahasa mudahnya cuti kecemasan. Rumah saya dan beberapa rumah yang lain telah ditenggalami oleh banjir kilat. Kali terakhir banjir terjadi kalau tidak silap perkiraan saya adalah kira-kira 15 tahun dahulu. Ketika itu adalah zaman persekolahan rendah. Saya masih ingat pada waktu dan ketika itu, saya baru pulang dari sekolah dan sedang berehat-rehat sambil menenangkan minda. Dan seterusnya terlelap di buat mimpi. Saya bermimpi sedang menaiki sampan di sebuah tasik yang sangat jernih airnya. Sehinggakan kita boleh nampak apa sahaja yang berenang didasarnya. Andaikata ada seorang atau pun seekor duyung yang sedang berenang pasti akan ternampak segala perhiasan yang dipakainya. Begitulah gambaran jernihnya air di tasik tersebut. Tiba-tiba sampan yang saya naiki bocor, air membuak-buak memasuki perahu kecil saya yang comel. Air yang memasuki sampai mengenai tubuh saya, terasa sangat sejuk sekali. Saya mengigil, namun saya sangat suka pada kesejukan yang saya alami ini. Saya pasrah ingin tenggelam bersama-sama perahu kecil saya. Saya ingin bersama-sama berenang di tasik ini bersama duyung-duyung rupawan yang juga mendiami tasik ini. Saya semakin tenggelam. Namun saya masih sempat tersenyum.

Saya membuka mata apabila tiba-tiba saya terbau sesuatu yang tuan-tuan tidak dapat bayangkan apakah ia. Ya, Allah. Rupanya baru saya sedar yang aliran air yang saya rasai tadi adalah limpahan air yang datangnya dari luar. Saya sedang berbaring diatas permaidani yang mulai terapung. Banjir!!!


Kegirangan menyambut banjir kali pertama dan menyambutnya pada kali yang kedua iaitu pada hari minggu yang lepas adalah tidak sama. Kali ini tidak ada kegirangan. Yang ada adalah sakit hati. Sakit hati memikirkan perkara-perkara yang perlu dilakukan selepas banjir. Hah, baru saya teringat, ketika selesai memindahkan semua barang-barang ke tempat yang selamat, kami berkumpul bersama-sama jiran yang menjadi mangsa banjir dihadapan rumah. Air masih lagi tidak surut. Datang seorang wartawan dari akhbar termasyur, mengambil berita dan gambar di tempat kejadian. Beberapa orang di kalangan mangsa telah menjadi subjek lensa jurufoto ini. Dan turut turun pada malam itu adalah YB ADUN dari kawasan tersebut. Keesokan harinya kami dikunjungi oleh wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Exco Kerajaan Negeri. Dan jiran-jiran yang baik hati tetapi tidak menjadi mangsa banjir menyediakan makanan yang cukup lazat untuk kami. Maklumlah, dapur dan pinggan mangkuk habis terapung ketika banjir berlaku.

Nota: Tajuk entri diatas sepatutnya dibaca bila air naik ke kepala lutut.