Dogma Kasih

Ini bukan sekadar sebuah dogma tentang kasih tetapi ia lebih kepada sebuah ekstrak dari sudut pandang insan picisan yang sering diketepikan dalam hal-hal yang berkaitan dengannya.


"Manusia tidak boleh hidup tanpa kasih sayang," kata seorang teman kepada saya. Saya termenung sejenak. Termenung memikirkan kata-kata tersebut. Ada kebenaran dalam ulas bicara teman itu.

Saya cuba untuk mendalami maksud ayat tersebut dengan satu persoalan remeh, "Kalau begitu dari mana datangnya perasaan kasih tersebut?" Nah, ada yang berkata kasih terbentuk di anak mata kemudian turun ke hati. Dan hati yang penuh dengan niat dan hasrat akan berbuat sesuai dengan apa yang di ingini. Apakah ini bermaksud kasih itu terletak pada apa yang dipandang oleh mata?

Saya teringat pesan orang dulu-dulu, "Kalau mencari isteri biar sakit dimata tetapi tidak sakit dihati." Penuh dengan pengertian. Tapi persoalan tadi masih tidak terjawab. Dimanakah letaknya perasaan kasih tersebut. Pertama, Kalau kita bersetuju untuk mengatakan bahawa perasaan kasih tersebut terletak pada pandangan mata, bagaimana pula dengan insan-insan yang tidak memiliki penglihatan, yang tidak pernah berpeluang untuk 'melihat' kasih dengan mata mereka sendiri. Kedua, jika kita juga bersetuju mengatakan bahawa kasih itu datangnya dari mata, makanya kita cuba untuk mengatakan juga bahawa kasih itu ada diluar dari diri kita. Dalam bahasa yang lebih mudah ialah pada apa yang dipandang. Maksudnya, oleh kerana mata itu berfungsi untuk melihat apa yang telah dijadikan di dunia ini makanya kita lebih senang untuk meletakkan andaian pada sesuatu perkara yang kita lihat. Dan dengan andaian-andaian yang ada akan lahirlah berbagai perasaan dan salah satu daripadanya adalah 'KASIH' itu sendiri.

Perbuatan ini seolah-olah menunjukkan bahawa mata adalah penentu kepada perasaan-perasaan tersebut. Sekali lagi ia bermula dengan pandangan mata dan seterusnya lahirlah perasaan yang diperkatakan tadi.

Ramai diantara kita pula mungkin bersetuju bila mengatakan bahawa kasih itu letaknya dihati. Jika anda bersetuju dengan fakta ini, anda mungkin tidak akan bersetuju dengan apa yang saya fikirkan ini pula.

Kalau kita mengatakan bahawa pada hati letaknya perasaan kasih. Jadi kenapa kita perlu meminta-meminta dan menagih kasih yang ada pada orang lain. Apa tidak cukupkah kasih yang memang telah ada bersama kita. Kenapa perlu menjadi pengemis kasih sedangkan yang ada di hati kita dibiarkan tanpa dibajai dengan kebaikan sehingga ia sirna menjadi titik hitam yang menjadi noda yang mencacatkan.

Mungkin ada yang akan mengatakan bahawa kalau begitu kenapa Allah menjadikan sesuatu itu berpasang-pasangan. Bukankah tujuan sesuatu itu dijadikan berpasang-pasangan melainkan untuk berkasih-sayang sesama mereka.

Kalau itu yang anda maksudkan, ternyata anda sudah terlalu ke depan dalam hal berkasih-sayang kerana kenyataan itu sesuai bagi mereka yang sudah berpasangan secara syarie. Tetapi bagi mereka-mereka yang masih bujang, bagaimana ya?