Setelah Enam Bulan Berlalu...

Demi Kerana Kamu...
Begitu pantas jari jemari ini menaip butiran makna. Walaupun hati tidak tega. Tetapi melihat kamu dan harapan yang mengunung itu, lagi tidak tega buat diri ini untuk terus membiarkan kuburan ini menyepi tanpa senandung gemersik kehidupan. Hampir-hampir langkah ini tersadung tunggul kesedihan yang begitu berselerakan. Kadang-kadang tunggul ini hampir tidak kelihatan lantaran ia terselindung oleh kabus warna yang tidak menentu.

Demi Kerana Kamu...
Masih ingatkah kamu pada pepatah burung yang kepatahan sayap, sembuh dan kemudian terbang mencari jalan bahagia. Masih ingatkah kamu? Mungkin bagi seorang pengembara yang melihat keindahan burung-burung yang berterbangan itu menyangka bahawa burung-burung itu berterbangan dengan girangnya dan sambil ia ketawa memandang dalam kedalam anak mata kamu. Sedangkan pada hakikatnya matanya merah, merdunya sendu menahan rasa hiba sambil ia memandang keindahan awan-awan putih disekelilinginya.

Demi Kerana Kamu...
Tidak ada bahagianya jika kamu kehilangan sebahagian dari jiwa kamu. Jiwa yang sempurna adalah gabungan dua jiwa yang dilimpahi oleh rasa cinta yang kekal abadi. Tahukan kamu apakah cinta yang kekal abadi? Cinta yang tidak ada khianat atau rasa iri, itulah cinta mutlak pemilik Tuhan alam semesta. Dan tahukah kamu apa pula bahagian jiwa itu? Bahagian jiwa itu tidak lain adalah diri kamu sendiri.

Demi Kerana Kamu...
Aku menahan nafas mengenangmu. Mengenang bahagian jiwaku. Memandang dengan cinta dari kejauhan. Mungkin aku akan binasa kerananya. Tapi bukankan itu pengorbanan yang perlu dilakukan bagi mereka yang benar-benar berani terjun kedalam lautan cinta ini.

Melihat kamu terkorban adalah sesuatu yang tidak mungkin aku lakukan. Mungkin biarkan sahaja diri ini yang terkorban.

Itu adalah lebih baik.
Dan yang paling pasti, aku akan kembali semula.